Pemandu cuai langgar 3 SJR dipenjara 14 bulan, denda RM37,000

Pemandu cuai langgar 3 SJR dipenjara 14 bulan, denda RM37,000

Polis mengambil masa lebih sejam mengejar tertuduh yang turut melanggar 12 lampu isyarat dan tiga kenderaan awam.

Tertuduh berusia 45 tahun itu dilaporkan memandu dalam keadaan bogel ketika melanggar SJR perintah kawalan pergerakan pada Julai lalu. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang memandu kereta secara cuai dan merempuh sekatan jalan raya (SJR) sehingga menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan raya Julai lalu, dipenjara 14 bulan dan denda RM37,000 di dua Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Chew Chong Teck, 45, turut berdepan hukuman penjara 21 bulan jika gagal membayar denda berkenaan, selain semua kesalahan tertuduh akan dicatat di dalam semua kelas lesen memandunya.

Tertuduh mengaku salah terhadap empat tuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood dan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Dia didakwa memandu kenderaan jenis Honda City secara melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara yang berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kemalangan di Jalan Kuala Berang (lampu isyarat Kubang Parit), jam 12.15 tengah hari pada 15 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, Noor Mazrinie menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, tertuduh yang berdepan tiga tuduhan sama didakwa melakukan kesalahan sama di lokasi berasingan sekitar daerah ini antara jam 12.06 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 15 Julai lalu.

Menurut laporan Berita Harian, bagi setiap kesalahan itu, Nordiana menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan dan denda RM9,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan semua hukuman itu berjalan serentak bermula daripada tarikh tangkap pada 19 Julai lalu.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Chia Bih Huah, manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Najmi Md Nasir.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengambil masa lebih sejam mengejar kereta dipandu lelaki yang memandu dalam keadaan bogel sebelum ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Batu 18 di Kuala Berang.

Lelaki itu melarikan diri selepas melanggar SJR perintah kawalan pergerakan (PKP) di Kampung Bukit Jong dan ketika melarikan diri, dia turut melanggar 12 lampu isyarat, tiga SJR PKP dan tiga kenderaan awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.