Letupan gas 1 April, 36 penduduk Putra Heights fail saman

Letupan gas 1 April, 36 penduduk Putra Heights fail saman

Penduduk dakwa insiden itu berpunca kecuaian manusia dan saluran paip gas dipasang terlalu dekat dengan rumah.

taman puchong perdana
Kumpulan penduduk menuntut pampasan bagi kerugian melibatkan kerosakan harta benda, isu kesihatan, dan gangguan emosi, serta keadilan dan ketelusan pihak berkuasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 36 penduduk Putra Heights memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap lima pihak berkait letupan gas pada 1 April lalu, menyebabkan 150 cedera dan memusnahkan banyak kediaman.

Plaintif menamakan Petronas Gas Berhad, Hong & Hong Homes Sdn Bhd, Pinterest Ventures Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Plaintif diketuai Loh Poh Heng, bertindak melantik bekas peguam negara, Tommy Thomas, sebagai ketua peguam mereka, lapor Astro Awani.

Kumpulan penduduk berkenaan menuntut pampasan bagi kerugian melibatkan kerosakan harta benda, isu kesihatan, dan gangguan emosi, serta keadilan dan ketelusan daripada pihak berkuasa.

“Ini bukanlah sekadar satu tindakan undang-undang. Ini adalah satu rayuan untuk keadilan, untuk pengiktirafan terhadap penderitaan kami. Kami mahu suara kami akan didengari,” kata Loh.

Loh berkata, mereka percaya tragedi tersebut berpunca daripada kecuaian manusia dan sepatutnya boleh dielakkan.

“Talian penghantaran gas milik Petronas Gas Berhad diletakkan terlalu hampir dengan rumah kami, namun langkah keselamatan tidak mencukupi.

“Enam bulan selepas kejadian, ramai mangsa masih tidak mempunyai tempat tinggal kekal dan bergantung kepada bantuan keluarga atau tinggal di penempatan sementara,” katanya pada sidang media di kawasan perumahan berkenaan.

“Kebakaran itu marak selama lebih tujuh jam sebelum berjaya dipadamkan. Rumah kami musnah, kehidupan porak-peranda, dan ramai penduduk mengalami kecederaan serius termasuk melecur teruk serta trauma emosi yang masih dirasai hingga kini.

“Parut kami mungkin tidak akan pernah hilang tetapi melalui tindakan sivil ini, suara kami akan didengari.”

Beliau mendakwa penduduk dibiarkan tanpa maklumat jelas selepas letupan itu, selain mendakwa siasatan dilakukan tidak telus dan kerja pembaikan dijalankan tanpa penjelasan kepada penduduk terjejas.

Letupan gas pada 1 April itu mencetuskan nyalaan api menjulang melebihi 30m tinggi, dengan suhu mencapai mencecah 1,000°C. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun kira-kira 150 mendapatkan rawatan di hospital.

Kebakaran itu meninggalkan satu kawah berukuran 21mx24m dan sedalam 10m. Sebanyak 81 kediaman musnah sepenuhnya, 81 lagi rosak sebahagian, dan 57 rumah terjejas akibat haba.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.