
Hakim Amarjeet Singh memutuskan pendakwah Firdaus Wong melanggar hak berperlembagaan lapan ibu bapa bukan Islam melalui sebuah video di media sosial yang menggalakkan penukaran agama anak bawah umur secara rahsia.
Amarjeet dalam keputusannya merujuk penghakiman mahkamah tertinggi dalam kes Shamala Sathiyaseelan lwn Dr Jeyaganesh C Mogarajah (2011), membabitkan pertikaian antara suami isteri berhubung dakwaan pelanggaran hak berperlembagaan masing-masing.
“Prinsip yang menonjol ialah: Jika seorang warganegara mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan, wujud kewajipan berhubung kait ke atas warganegara lain untuk menghormati dan tidak mencampuri hak itu, dengan mengambil kira hak berperlembagaan adalah suci dan mesti dilindungi dengan teliti,” katanya dalam penghakiman 21 muka surat bulan lalu.
Peguam Norazali Nordin yang mewakili Firdaus membantah permohonan itu dengan berhujah pelanggaran Perlembagaan tidak memberi hak untuk seorang warganegara menyaman warganegara lain.
Beliau merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2005 dalam kes Beatrice Fernandez lwn Sistem Penerbangan Malaysia & Ors bahawa hak Perlembagaan hanya boleh dikuatkuasakan terhadap badan perundangan atau eksekutif, bukannya individu.
Tetapi, Amarjeet memutuskan ibu bapa sebagai plaintif dalam saman itu mempunyai locus standi untuk menyaman bukan sahaja atas kapasiti peribadi, tetapi juga melalui litigasi kepentingan awam.
“Saya berpendapat plaintif berhak menuntut ganti rugi daripada defendan atas pelanggaran hak berperlembagaan mereka dan hak ibu bapa bukan Islam lain,” katanya.
Firdaus sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Pada 10 Julai lalu, hakim itu memerintahkan Firdaus memadam video terbabit, yang disiarkannya tahun lalu, secara kekal.
Berdasarkan kandungan video itu, hakim mendapati Firdaus memikirkan Perkara 12(4) Perlembagaan ketika menghasilkan video terbabit.
Perkara 12(4) memperuntukkan agama bagi individu bawah 18 tahun ditentukan ibu bapa mereka.
“Nasihatnya ialah memintas Perkara 12(4) Perlembagaan secara rahsia untuk menafikan hak berperlembagaan ibu bapa bagi menentukan agama anak-anak mereka.”
Dalam video dimuat naik Jun 2024, Firdaus dilihat memberi nasihat kepada seorang guru agama berhubung cara bertindak terhadap permintaan kanak-kanak bawah umur mahu memeluk Islam tanpa memaklumkan ibu bapa mereka.
Beberapa laporan polis dibuat terhadap Firdaus selepas video itu tular di media sosial, mendorong pihak berkuasa memulakan siasatan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan mendatangkan khianat awam.
Dalam penghakimannya, hakim terkejut kerana tiada tindakan penguatkuasaan diambil terhadap Firdaus dan kelakuannya tidak mengambil kira rakyat Malaysia beragama lain serta membawa risiko kepada ketenteraman dan keharmonian awam.
Peguam M Visvanathan, Sanjay Nathan dan Pushan Qin Nathan mewakili lapan ibu bapa itu.