
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan Elizabeth Wong, berkata sehingga kini hanya Selangor yang menguatkuasakan peruntukan seperti itu sebagai mandatori.
Beliau berkata, kerajaan Persekutuan tidak patut sekadar menunggu semua negeri turut melaksanakan perkara itu.
Mengulas Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini, beliau berkata tindakan daripada kerajaan Persekutuan sangat diperlukan bagi mencari jalan penyelesaian mewajibkan peraturan “termasuk peruntukan membabitkan insentif kewangan” demi memelihara dan mengekalkan hutan simpan sedia ada.
Kenyataannya Wong itu susulan kemelut penyahwartaan hutan simpan yang menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak. Awal bulan ini, kerajaan Selangor berkata penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat telah ditangguhkan.
Lebih 500 hektar hutan simpan berkenaan diperuntukkan bagi tujuan projek pembangunan hartanah oleh syarikat swasta.
Wong yang juga bekas Exco Selangor yang bertanggungjawab berhubung persekitaran, turut mencadangkan beberapa lagi dasar berkaitan alam sekitar.
Ini termasuk moratorium selama 25 tahun terhadap pembalakan komersial dan komitmen untuk menyahwarta hutan simpan bagi projek berkaitan kepentingan negara sahaja.
Katanya, mana-mana bahagian hutan simpan yang dinyahwarta perlu diganti dengan hutan berkualiti tinggi yang keluasannya sekurang-kurangnya bersamaan saiz. Beliau berkata, semua negeri mesti digalakkan meningkatkan kawasan hutan simpan masing-masing setiap tahun.
“Adalah mustahak pemeliharaan sumber alam semulajadi disokong dengan dana mencukupi dan kewangan. Saya mengalu-alukan pembentukan Bayaran Perkhidmatan Ekosistem (PES), dan pengembangan ketara membabitkan Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional.
“Ia akan menyediakan dana pampasan mencukupi, termasuk insentif aktiviti konservasi di semua negeri,” katanya.