59 kes ceroboh hutan simpan di Pahang jadi kebun durian haram sejak 2019

59 kes ceroboh hutan simpan di Pahang jadi kebun durian haram sejak 2019

Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang Zainuddin Jamaluddin berkata pokok durian ditanam secara haram akan ditebang tanpa mengira saiz atau kedudukan kawasan hutan.

Sukarelawan daripada 23 NGO menanam pokok di Hutan Simpan Batu Talam, Raub yang diceroboh untuk dijadikan kebun durian haram pada Ogos 2021. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) menjalankan 114 operasi penguatkuasaan sejak 2019 membabitkan 59 kes pencerobohan hutan simpan dijadikan kebun durian haram.

Pengarah JPNP, Zainuddin Jamaluddin, berkata pikap, motosikal dan peralatan meracun antara 101 barangan ditemui dalam kawasan hutan itu yang disita.

Katanya, pencerobohan dikesan melalui rondaan, dron dan satelit, dengan pihak terbukti menceroboh boleh didakwa mengikut Seksyen 32, 47 dan 50 Akta Perhutanan Negara 1984 yang membawa hukuman penjara serta denda.

“Pokok durian akan ditebang menggunakan mesin gergaji berantai tanpa mengira saiz pokok atau kedudukan kawasan hutan,” katanya menurut Berita Harian.

“Tindakan penguatkuasaan ini bukan zalim, walaupun ramai tidak bersetuju kerana sebelum operasi penguatkuasaan dilakukan, rundingan diadakan dengan pekebun haram bagi membuka peluang mereka membuat pilihan.”

Beliau berkata, selepas pokok haram ditebang, Pejabat Silvikultur Negeri JPNP Zon Barat akan menanam pelbagai spesies pokok balak berkualiti, seperti Meranti, Merbau, Perah dan Keruing.

Katanya, pelbagai cabaran dihadapi Unit Penguat Kuasa Barat JPNP dan agensi penguat kuasa daerah, termasuk lokasi diceroboh jauh, tanah milik berpagar, laluan sempit serta berbahaya.

“Kita tetap melakukan operasi penguatkuasaan secara berterusan dalam memastikan pencerobohan hutan simpan tidak terus berlaku.

“JPNP tidak berkompromi dalam kes pencerobohan hutan yang dijadikan kebun durian membabitkan beberapa kawasan hutan simpan.”

Pada 2021, JPNP menebang kira-kira 15,000 pokok durian di sebuah kebun haram Musang King lebih 101.17 hektar di Hutan Simpan Batu Talam, Raub.

Kira-kira 20,000 pokok hutan antaranya Merawan, Meranti, Balau, Keruing dan beberapa spesies lain ditanam di kebun itu kemudian.

Bulan lalu, JPNP membantu operasi penguatkuasaan kebun haram di Sungai Ruan dan Sungai Klau, Raub.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.