LKAN: KPM paling banyak projek kritikal tertangguh bawah RMK12

LKAN: KPM paling banyak projek kritikal tertangguh bawah RMK12

Sebanyak 157 projek tertangguh bawah 18 kementerian sehingga 31 Dis 2024.

KPM merekodkan 46 daripada 157 projek tertangguh bawah 18 kementerian sehingga 31 Dis 2024.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan jumlah tertinggi projek lewat jadual (sakit) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 Siri 3 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

KPM merekodkan 46 daripada 157 projek lewat jadual di bawah 18 kementerian sehingga 31 Dis 2024.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah mencatat 34 projek, diikuti Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (12) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (11).

Empat projek lewat jadual dengan peratus kelewatan fizikal melebihi 20% telah mendapat dua hingga 10 Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa (EOT) dengan tempoh EOT sehingga 785 hari.

Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan bahawa setakat 30 Jun lalu, daripada 9,355 projek di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) RMK12, sebanyak 4,528 projek (48.4%) sedang dalam peringkat pelaksanaan, 3,136 (33.5%) dalam prapelaksanaan, 1,526 (16.3%) dalam pascapelaksanaan, manakala 165 (1.8%) yang meliputi 140 projek berstatus simpan dalam perhatian dan 25 projek berstatus batal.

Sebagai rumusan, pada akhir 2024, 3,829 projek (43.7%) dalam pelaksanaan, 2,400 (27.4%) dalam prapelaksanaan, 2,355 (26.9%) dalam pascapelaksanaan dan 171 projek (2%) adalah berstatus batal dan simpan dalam perhatian.

Antara 2021 hingga 2024, prestasi perbelanjaan projek mencecah RM315.93 bilion, melebihi peruntukan diluluskan RM307.91 bilion, iaitu bersamaan 76.1% daripada had RM415 bilion yang ditetapkan dalam kajian separuh penggal RMK12.

Sementara itu, projek perumahan keluarga Angkatan Tentera Joint Task 2 bernilai RM100 juta di Kem Kukusan, Sabah, di bawah Kementerian Pertahanan, tertangguh akibat masalah kewangan dan pengurusan pihak kontraktor, yang menyebabkan kerja-kerja pembinaan terhenti.

Kementerian itu dalam maklum balas kepada Jabatan Audit Negara, berkata JKR telah menamatkan perkhidmatan kontraktor pada 23 Mei 2025. Tambahan RM4.5 juta diperlukan untuk menyiapkan projek itu, dengan kontraktor baharu dijangka dilantik pada Disember.

Satu lagi projek tertangguh – perumahan keluarga bernilai RM63.25 juta untuk Pangkalan Udara Labuan – juga di bawah kementerian sama, menerima empat EOT berjumlah 467 hari akibat pekerja tidak mahir, cuaca buruk, isu logistik dan kelewatan bahan import.

Manakala penambahbaikan RM20.4 juta bagi Galeria Perdana di Langkawi, di bawah Kementerian Perpaduan Negara tertangguh kerana isu kontraktor.

“Empat EOT sebanyak 192 hari telah diberikan dan notis perubahan telah dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi pada 15 Ogos, meminta tambahan RM40.2 juta, menjadikan jumlah kos sebanyak RM60.6 juta,” kata kementerian itu dalam maklum balasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.