
Beliau, yang berkongsi status pemilikan ekuiti sektor korporat berasaskan nilai pasaran bagi 2019 berkata, pegangan Bumiputera hanya mencapai kadar 17.2%.
“Bukan Bumiputera 25%, asing 45.5% dan nomini 12.3%,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.
Katanya, bagi memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan, kerangka jaringan keselamatan ekuiti akan diperkenalkan supaya penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya ditawarkan dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera lain.
“Di samping itu, pegangan dan pelupusan pemilikan oleh syarikat Bumiputera akan dikawal selia oleh kementerian dan agensi berkaitan selaku pengawal selia sektor.
“Dalam usaha menyelaras semua inisiatif ini, Bahagian Kemakmuran Bumiputera dengan mandat dan fungsi yang lebih jelas akan diwujudkan semula melalui penugasan semula pegawai di setiap kementerian dan agensi kerajaan,” katanya.
Ismail berkata, langkah itu adalah bagi menambah baik tadbir urus pelaksanaan agenda Bumiputera.
“Satu rangka kerja tindakan pembangunan Bumiputera akan diumumkan pada penghujung tahun ini. Ia memperincikan beberapa inisiatif utama dalam merealisasikan aspirasi bagi meningkatkan status sosioekonomi Bumiputera,” katanya.