
Katanya, tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar mempertahankan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dan agensi itu menyiasat sendiri kehilangan barang kes berkenaan bertentangan kedaulatan undang-undang, urus tadbir baik, ketelusan, integriti dan akauntabiliti awam.
Beliau berkata, Azam turut mendapat tekanan daripada orang awam supaya mengambil cuti rehat bagi memastikan tiada campur tangan dalam siasatan itu.
“Ini telah mencetuskan persepsi negatif dan kecurigaan orang awam terhadap campur tangan pada tahap tertinggi, ketika pegawai SPRM yang didakwa terlibat dalam kehilangan barang kes, direman 12 hari lalu dan SPRM hanya mengeluarkan kenyataan rasmi setelah tempoh reman berakhir,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas penahanan tiga pegawai kanan SPRM atas penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan berhubung kehilangan barang kes milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid.
Lim berkata, tindakan itu berbeza dengan amalan SPRM yang “sengaja dan cepat mendedahkan maklumat” kepada media mengenai ahli politik pembangkang yang ditahan atau akan didakwa di mahkamah kemudian hari.
Atas sebab ini, katanya, Azam perlu mengambil cuti kerana beliau dilihat sebagai batu penghalang terhadap siasatan bebas dan mengikut lunas undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Bagaimana SPRM boleh dipercayai untuk menyiasat dirinya sendiri di atas kesalahan jenayah tersebut? Perkara ini juga perlu dikendalikan polis apabila kes kecurian tidak berada di bawah bidang kuasa SPRM.
“Skandal ASD6 juta ini semakin mengukuh dan menambah kurangnya keyakinan orang awam terhadap integriti dan kredibiliti SPRM untuk menjalankan siasatan kes rasuah secara bebas tanpa campur tangan.”
Khamis lalu, Wan Junaidi menangkis dakwaan kehilangan barang kes berjumlah ASD6 juta sepatutnya dilakukan polis, bukannya SPRM.
Beliau berkata, SPRM sudah melengkapkan fail kes berhubung kehilangan barang kes itu, sekali gus memudahkan agensi antirasuah itu menjalankan siasatan lanjut.
Katanya, isu sama ada wajar merehatkan Azam akan dibawa kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.