Pemimpin Umno saran kerajaan perkenal skim pencen sosial

Pemimpin Umno saran kerajaan perkenal skim pencen sosial

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan mencadangkan kerajaan memberi bantuan kewangan bulanan kepada pesara dengan tahap pendapatan tertentu.

Shahril Hamdan turut mencadangkan kerajaan menyumbang kepada caruman KWSP pekerja, tetapi mungkin tidak dengan nisbah 1:1 dan selamanya.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan mencadangkan kerajaan memperkenalkan skim pencen sosial, susulan laporan 5.8 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai baki kurang RM10,000 dalam akaun mereka.

Selain pengeluaran simpanan KWSP, beliau menyarankan kerajaan memberi bantuan kewangan bulanan kepada pesara dengan tahap pendapatan tertentu.

Katanya, kebarangkalian rasionalisasi program subsidi kerajaan di samping perubahan rejim percukaian perlu dipertimbangkan bagi memudahkan “tax-funded social pension scheme” itu berlaku.

“Masalah jangka panjang memerlukan tindakan berani dari kerajaan untuk lebih menjamin kedudukan kewangan untuk hari esok.

Shahril Hamdan.

“Mungkin ada juga pilihan untuk kerajaan selepas ini menyumbang kepada caruman, selain caruman pekerja dan majikan, walaupun mungkin tidak dengan nisbah 1:1 dan tidak selamanya,” katanya dalam catatan di Facebook.

Jumaat lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, 46% pencarum berusia bawah 55 tahun hanya mempunyai caruman kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka.

“Pandemik ini mengakibatkan kejatuhan ketara dalam peratusan ahli yang mencapai simpanan asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36% kepada 27%, susulan pengeluaran yang dibuat bagi menampung pendapatan mereka ketika krisis Covid-19.”

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda Umno berkata, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan adalah penyelesaian terbaik ketika ini bagi memulihkan ekonomi rakyat yang tertekan akibat pandemik Covid-19.

Selagi pasaran pekerjaan hambar dengan kadar pengangguran antara 700,000 hingga sejuta orang ketika ini, katanya, negara akan terus terperangkap dengan masalah aliran tunai.

“Sama ada skim ‘job bank’ atau apa sahaja usaha lain, saya berpandangan jawapannya ialah ‘jobs, jobs, jobs’. Bila rakyat mampu kembali meraih pendapatan bulanan, terutamanya pada kadar sepatutnya, barulah kita benar-benar sudah berada di atas jalan pemulihan.”

Katanya, pelbagai skim tunai seperti i-Citra dan Bantuan Khas Covid-19 mahupun moratorium pinjaman tidak mampu menyelamatkan keadaan untuk tempoh lebih lama.

“Ia sesuai untuk suatu tempoh seketika sebagai ‘plaster’, tetapi tidak merawat dengan menyeluruh – tidak seperti peluang bekerja.

“Apabila bekerja, secara keseluruhannya kita mengeluarkan output untuk ekonomi (supply side) dan meraih pendapatan,” katanya sambil menambah generasi muda mendahagakan peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Cuma peluang itu mesti dibuka lebih meluas,” tegasnya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.