
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata, hasil keterangan saksi, tiada unsur penderaan yang berlaku, sebaliknya wanita warga Indonesia itu dipercayai mengalami tekanan perasaan kerana hendak balik ke negara asal.
Beliau berkata, sebelum itu polis telah mengesan sebuah video tular di media sosial Facebook berdurasi satu minit 10 saat yang memaparkan seorang wanita dikatakan dalam ketakutan dan mendakwa telah didera majikannya.
“Menerusi penelitian ke atas video yang diperolehi, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dan Balai Polis Setapak telah pergi ke kondominium berkenaan untuk mendapatkan maklumat kejadian.
“Berdasarkan maklumat yang diperolehi di tempat kejadian dan keterangan saksi, kejadian berlaku pada Khamis lalu kira-kira pukul 10 malam,” katanya dalam kenyataan.
Ashari berkata, wanita itu telah berjaya dipujuk rakannya dan ditenangkan, manakala seorang kenalan juga telah membuat laporan polis bagi menafikan berlakunya kejadian dera.
Katanya, semakan mendapati tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mangsa, individu lain dan pihak kedutaan indonesia berhubung kejadian itu.
Sehubungan itu, polis berharap supaya spekulasi berlaku kejadian dera ke atas mangsa tidak ditularkan kerana berita yang tidak tepat boleh mendatangkan keresahan dan kerisauan kepada masyarakat.