
Salah seorang peguam, R Kengadharan berkata, Gerakan Peguam Muda (YLM) tidak sepatutnya membuat tuntutan itu kerana pelajar terbabit adalah pelatih, bukannya seorang pekerja, menyebabkan mereka tidak layak menerima sebarang pembayaran imbuhan.
Katanya kepada FMT, tujuan latihan itu adalah memberi pengetahuan dan pengalaman bekerja sebagai peguam kepada mereka dan imbuhan yang diberikan hanyalah berbentuk elaun perbatuan.
“Imbuhan diterima ketika menjalani latihan tidak boleh dianggap sebagai gaji,” katanya.
“Mereka juga tidak boleh dianggap sebagai pekerja di bawah undang-undang pekerjaan.”
Baru-baru ini, YLM menggesa Majlis Peguam menggariskan peraturan bagi memaksa firma guaman membayar imbuhan minimum bulanan sebanyak RM1,200 kepada pelatih dalam kamar.
Jurucakapnya Vince Tan berkata, majlis diberi kuasa untuk meminda dan membuat peraturan seperti memperkenalkan pembayaran minimum itu.
Seorang lagi peguam, A Srimurugan berkata, hubungan antara peguam pelatih dan pelatih diatur sendiri dan pelajar terbabit hanya dibayar elaun untuk menanggung kos makan dan pengangkutan.
“Ketika tempoh latihan, mereka diberi skop tugas yang terhad. Mereka boleh mengikuti prosiding di Mahkamah Majistret hanya selepas tiga bulan menjalani latihan,” katanya.
Katanya, peguam kanan boleh menolak untuk mengambil mereka yang juga akan melewatkan kemasukan mereka ke Mahkamah Tinggi Malaya.
Peguam Alex Anton Netto berkata, sebarang langkah untuk melaksanakan skim imbuhan minimum sepatutnya perlu dirunding dan firma guaman tidak harus dipaksa untuk menerimanya.
Selain itu katanya, ia juga bukan masa yang sesuai untuk membuat tuntutan itu memandangkan firma guaman ketika ini sedang bergelut akibat kesan pandemik Covid-19.
“Apabila keadaan ekonomi lebih kukuh, ini boleh dipetimbangkan menerusi skim perintis di Kuala Lumpur dan Selangor sebelum ia diperluaskan ke negeri-negeri lain,” katanya.