Mahkamah kekal keputusan majikan kena bayar pekerja asing walau tiada kerja

Mahkamah kekal keputusan majikan kena bayar pekerja asing walau tiada kerja

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata 'tidak ada kerja untuk mereka' selepas majikan bawa masuk pekerja asing tidak boleh dijadikan alasan.

shah alam court
Mahkamah Tinggi Shah Alam anugerahkan lebih RM760,000 tuntutan gaji tertunggak kepada 93 pekerja migran yang terkandas tanpa pekerjaan sebaik tiba di Malaysia pada 2023.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan keputusan Mahkamah Buruh yang mengarahkan majikan membuat bayaran tunggakan gaji kepada 93 pekerja migran yang diabaikan tanpa pekerjaan sebaik tiba di Malaysia.

Keputusan itu berhubung pengabaian gaji pekerja asing wajar dijadikan pengajaran kepada majikan kerana kegagalan membayar gaji merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang buruh negara.

Merujuk kepada keputusan mahkamah itu pada 31 Okt, Menteri Sumber Manusia Steven Sim, berkata Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menafikan hak asasi pekerja.

Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan keputusan Mahkamah Buruh pada 8 Nov 2024 yang mengarahkan supaya majikan membuat bayaran tunggakan gaji tersebut.

“Keputusan ini secara tidak langsung mengesahkan pendirian Kesuma bahawa setiap majikan membawa masuk pekerja migran ke negara ini wajib membayar gaji sebaik mereka tiba di Malaysia, walaupun pekerja belum diberikan sebarang tugasan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Bernama, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan keputusan Mahkamah Buruh tahun lalu untuk menganugerahkan lebih RM760,000 tuntutan gaji tertunggak kepada 93 pekerja warga asing yang terkandas tanpa pekerjaan sebaik tiba di Malaysia, pada 2023.

Sim berkata, beliau telah menegaskan sebelum ini bahawa setiap pekerja asing yang datang ke negara ini berhak menerima gaji dan majikan tidak boleh culas dengan memberikan alasan ‘tidak ada pekerjaan untuk mereka’.

“Prinsipnya jelas, jika tiada pekerjaan disediakan, majikan tidak seharusnya membawa masuk pekerja asing, namun jika pekerja telah dibawa masuk, maka adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk membayar gaji mereka.”

Beliau turut memaklumkan semua 93 pekerja asing yang terlibat dalam kes berkenaan berjaya ditempatkan semula dengan majikan baharu, menerusi inisiatif pertukaran majikan khas yang dilaksanakan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.