Lebih 2,400 kes bunuh diri sejak 2018, 80% babit lelaki, kata PM

Lebih 2,400 kes bunuh diri sejak 2018, 80% babit lelaki, kata PM

Tekanan perasaan dan masalah kewangan menjadi penyumbang utama kes bunuh diri, dengan Selangor merekodkan kes tertinggi.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, 27.99% kes bunuh diri akibat tekanan perasaan dan 15.87% didorong masalah kewangan.
PETALING JAYA:
Rekod polis menunjukkan 2,426 kes bunuh diri dilaporkan sejak 2018, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob memberitahu Parlimen.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berhubung pecahan demografi pelbagai, Ismail berkata, sebanyak 2,030 kes atau 83.68% daripada mereka yang membunuh diri itu adalah lelaki.

Beliau berkata, kira-kira 60% atau 1,358 kes membabitkan individu berusia 40 tahun ke bawah. Pecahan mengikut kaum pula menunjukkan 807 kes membabitkan orang Cina, 462 (India), 362 (Melayu) dan 19 (tidak dapat dikenal pasti).

Siasatan polis turut mendapati 27.99% individu membunuh diri akibat tekanan perasaan, 15.87% didorong masalah kewangan. Dua faktor itu menjadi penyumbang tertinggi kes bunuh diri.

Selangor merekodkan kes bunuh diri tertinggi sejak 2018, iaitu 442 kes, diikuti Johor dengan 37 kes, Pulau Pinang (270), Kuala Lumpur (266), Perak (224), Sarawak (159), Sabah (145), Negeri Sembilan (137), Pahang (122), Kedah (111), Melaka (74), Kelantan (61), Terengganu (36) dan Perlis (4).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.