
Namun, jika diikutkan nasibnya kini, impian itu telah terkubur.
Buat masa ini, apa yang Izanur risaukan adalah cara untuk melangsaikan segunung hutang yang membebani keluarganya sejak wabak mula melanda, hutang yang sebegitu besar sehingga tidak dapat membayar yuran sekolah mahupun sewa rumah.
Namun, tamparan lebih hebat bagi keluarganya adalah apabila bapanya, Mohammad Ismail Hossain, meninggal dunia pada usia 46 tahun akibat pneumonia, setelah dijangkiti Covid-19.

“Kami tidak terfikir ini akan berlaku,” kata Izanur, merujuk kepada kematian bapanya.
“Kami ingat hanya level oksigennya yang menurun.”
Tambahnya, bapanya selama ini sentiasa sihat dan masih muda.
Ibunya juga dijangkiti Covid-19 pada masa yang sama namun tidak lama berada di dalam hospital.
“Pada saat saya memberitahu ibu (mengenai kematian bapa), beliau jatuh ke lantai, menangis. Kami semua menangis,” kata Izanur, dengan suara yang perlahan, menceritakan bagaimana kematian bapanya benar-benar melumpuhkan keluarganya.

“Saya rasa kosong, tiada siapa jangka beliau akan meninggal dunia begitu awal. Seolah-olah mustahil, dan sehingga kini, tidak dapat diterima akal.”
Dengan kematian bapanya, Izanur kini terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga pada usia hanya 15 tahun.
Ia peranan yang bukan sahaja tidak mahu digalasnya malah tidak bersedia. Katanya, keluarganya mengalami masalah kewangan sejak bapanya masih hidup lagi.
“Ibu bapa saya pernah memiliki kilang pakaian dan kami hidup senang sehinggalah ia terpaksa ditutup,” kata Izanur kepada FMT.
Disebabkan ibu bapanya tidak dapat membayar sewa, mereka diarahkan untuk mengosongkan premis berkenaan, katanya.
Tambahnya, semua mesin dan fabrik daripada kilang tersebut kini hanya menyemakkan rumah mereka, dan menjadi peringatan yang suram tentang kegagalan perniagaan ibu bapanya.

Nasib mereka mula menjadi malang setelah seorang pelanggan gagal melunaskan bayaran kepada ibu bapanya, kata Izanur.
“Jumlah keseluruhan (hutang) adalah lebih RM50,000, dan jika mereka bayar, kami takkan berada dalam situasi ini, katanya, sambil menambah, pemilik butik pakaian itu terus tidak menghiraukan panggilan mereka dan tidak membayar sesen pun sehingga kini.
Terdesak untuk menjelaskan sewa rumah dan menampung kehidupan, ibu bapa Izanur mula membuat penghantaran barangan dapur dan membuat sebarang kerja rencam yang mereka jumpa.
Namun, pendapatan mereka masih tidak cukup untuk menjelaskan sewa rumah sebanyak RM1,100.
“Tuan rumah datang dan ingin mengusir kami,” katanya.
“Namun anaknya datang dan meminta bapanya membenarkan kami tinggal di rumah ini buat sementara waktu. Jika tidak, kami sudah diusir.”
Keluarga Izanur masih berhutang sewa tujuh bulan.

Ibunya menghidap diabetes dan tidak dapat bekerja, dan keluarganya bergantung kepada kemuliaan hati seorang saudaranya yang membantu dari segi kewangan, apabila mampu.
Di samping itu, yuran persekolahan turut menjadi beban bagi keluarga Izanur.
Pelajar Sekolah Menengah Sri Acmar itu berkata, dia khuatir tidak dapat menamatkan pengajiannya.
“Saya diusir dari kelas berkali-kali. Tahun lepas, saya tidak dapat menghadiri kelas selama dua bulan dan sama ada kelas dalam talian atau fizikal, sekolah memberitahu saya untuk tidak hadir kerana saya belum membayar yuran,” katanya.
Yuran persekolahan Izanur dan adiknya masing-masing berjumlah RM12,000, namun keluarganya setakat ini hanya mampu membayar RM5,000 bagi setiap seorang.
Berat bagi Izanur apabila ketinggalan dalam pelajarannya kerana dia bercita-cita tinggi. Dengan rasa bangga dan sedih bercampur aduk, dia masih ingat kegembiraan bapanya dengan keputusan UPSRnya yang cemerlang.
“Beliau berkongsi keputusan UPSR saya dengan 200 atau 300 orang rakannya,” kata Izanur, yang mendapat 5A dan 1B dalam peperiksaan tersebut.
Katanya, bapanya memberitahunya bahawa beliau dapat “pergi” dengan tenang setelah melihatnya berjaya menjadi doktor dan membantu orang miskin yang tidak mampu membeli ubat-ubatan yang mahal.
Pada masa ini, kehilangan bapanya masih terkesan di hati Izanur. Walaupun masih teringat pertelingkahan “mesra” antara mereka, dia ada masalah yang lebih besar yang perlu difikirkan, iaitu hutang menggunung keluarganya.
Bagi yang ingin membantu Izanur dan keluarganya, sumbangan boleh dibuat kepada ibunya, Nurjahan Begum, melalui akaun Maybank: 1623 9391 1148.