
Lima transformasi lain dipersetujui oleh Jemaah Menteri adalah pelaksanaan Undi18, keseimbangan keanggotaan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, dan Rang Undang-undang termasuk Perbekalan akan dirunding dan dipersetujui secara bersama oleh kerajaan dan pembangkang.
Dalam kenyataan, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut menawarkan penyertaan ahli pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Ketua Pembangkang diberi saraan serta kemudahan setara dengan menteri.
Ismail tidak menunjukkan tawaran kerajaan itu secara khusus kepada pembangkang dalam kenyataannya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan “semua pihak” perlu memberikan fokus dan keutamaan kepada memulihkan kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi Covid-19 serta pemulihan ekonomi.
Beberapa “tawaran” transformasi itu sebelum ini diumumkan oleh Muhyiddin Yassin bulan lalu, ketika beliau Perdana Menteri dan memerlukan sokongan pembangkang untuk kekal menyandang jawatan itu.
Ismail berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini komited melaksanakan transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
“Ini selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja-Raja Melayu tentang peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.
“Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi Covid-19 serta pemulihan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, tawaran transformasi itu juga bertujuan mewujudkan landskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.
“Pada masa sama, kerajaan komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa,” katanya.
Ismail berkata, transformasi kerajaan ini memaktubkan nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.
“Ini juga selaras dengan semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” katanya.
Ismail dilaporkan mempunyai sokongan majoriti tipis 114 Ahli Parlimen dan masih tidak jelas sama ada “tawaran” beliau ini akan memperoleh sokongan Parlimen.
Pemimpin DAP, Lim Kit Siang, sebelum ini berkata sebarang keengganan Ismail menguji keabsahannya di Parlimen akan menyebabkan pembangkang sukar mengikat sebarang Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) dengan kerajaan.