
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, membenarkan lebih banyak sektor dibuka akan memanfaatkan lebih sejuta penggiat seni dan pekerja industri kreatif, serta lebih 19,000 perniagaan.
Katanya, keputusan itu dibuat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini sebagai usaha berterusan kerajaan untuk merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif.
“Industri kreatif menyumbang 2% atau RM29 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019.
“Selain membolehkan lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja industri mula bekerja dan menyara kehidupan, kelonggaran ini juga dapat kembali menghidupkan industri kreatif negara yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.
Aktiviti industri kreatif lain yang dibuka kepada individu lengkap divaksin ialah:
- “Indoor busking” dan persembahan di “lounge” hotel.
- Persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pradaftar) pada kapasiti 30% ruang premis.
- Penggambaran industri kreatif di dalam dan luar studio.
- Penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung, termasuk yang berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan pada kapasiti 30% ruang studio.
- Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji) pada kapasiti 30% ruang premis.
Ismail mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi syarat dan prosedur bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan, khususnya dalam usaha negara beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober ini.
“Persetujuan untuk memberi kelonggaran ini tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan MKN.”