
Beliau berkata kekuatan yang ada pada penceritaan serta nilai budaya yang dikongsi mampu merapatkan lagi hubungan kedua-dua negara.
“Suatu ketika dahulu, Malaysia dan Indonesia mempunyai program pertukaran budaya yang dikenali sebagai Titian Muhibah, anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Televisi Republik Indonesia (TVRI) dan Radio Republik Indonesia.
“Program ini menjadi platform memperkenalkan seni, budaya dan memperkukuh hubungan dua hala secara berterusan, namun ia kini tidak lagi diteruskan, sekali gus meninggalkan kekosongan dalam hubungan budaya yang pernah terjalin erat.
“Sudah tiba masanya untuk kita menghidupkan kembali era keakraban antara Malaysia dan Indonesia. Melalui pelbagai inisiatif kreatif, kita mampu membina jambatan baharu yang mengukuhkan lagi rasa serumpun dan semangat Nusantara,” katanya, menurut Bernama.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat daripada pengarah tersohor Malaysia Erma Fatima atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad serta delegasinya di Jakarta.
Selain itu katanya, karya tempatan seperti animasi Upin dan Ipin yang berjaya menembusi pasaran Indonesia juga membuktikan bahawa kandungan terbabit berkualiti tinggi serta berpotensi besar.
Katanya, Malaysia juga kini boleh berbangga dengan drama bersiri terbaharu, Bidaah terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd milik Erma yang boleh menjadi penghubung budaya dengan Indonesia.
“Kita berharap karya-karya tempatan yang mengetengahkan nilai bersama akan menjadi asas hubungan erat Malaysia-Indonesia serta memperbaharui semangat kerjasama budaya dalam era moden ini,” katanya.
Sejak ditayang bulan lalu, Bidaah menjadi drama paling tinggi tontonan di Viu, sebuah platform penstriman dalam talian, dengan lebih daripada 2.5 bilion tontonan di platform digital dan media sosial di Malaysia dan Indonesia.