7 ditahan, salun rambut jadi sarang pelacuran

7 ditahan, salun rambut jadi sarang pelacuran

Polis berkata, perkhidmatan seks itu hanya ditawarkan kepada pelanggan tetap dengan tempahan dibuat menerusi WhatsApp.

Tiga wanita asing dan seorang wanita tempatan yang juga pemilik premis ditahan dalam serbuan polis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pelacuran yang berselindung di sebalik perniagaan salun rambut uniseks dengan penangkapan tujuh orang, termasuk tiga wanita asing dalam serbuan di Jalan Nibong Tebal, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Rahimi Ra’ais berkata, serbuan pada 4.30 petang oleh pasukan dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang itu mendapati premis berkenaan diubah suai di bahagian dalamnya untuk menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

“Sindiket itu menjalankan kegiatan menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan tetap sahaja dan beroperasi melalui pintu belakang bagi mengelakkan ia dihidu pihak berkuasa.

“Pelanggan akan dihubungi penjaga melalui aplikasi WhatsApp untuk membuat tempahan perkhidmatan itu sebelum ke premis tersebut,” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata, semasa serbuan, ketiga-tiga wanita asing berumur 22 hingga 25 tahun itu leka melayan tiga pelanggan berusia 43 hingga 48 tahun di bilik berasingan di dalam premis tersebut.

Katanya, polis turut menahan tiga pelanggan dan pemilik premis, iaitu seorang wanita tempatan berusia 48 tahun yang dipercayai antara dalang sindiket tersebut serta penjaga wanita asing berkenaan.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengesan beberapa ahli sindiket yang dipercayai berada di sekitar negeri ini.

“Semua tujuh individu itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 372A serta Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

“Mereka juga dikenakan tindakan mengikut Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melanggar SOP.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.