Kes kematian pengawal keselamatan, suspek tak boleh ditahan semula, kata polis

Kes kematian pengawal keselamatan, suspek tak boleh ditahan semula, kata polis

Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis akan mengemukakan pertuduhan lebih berat ketika sebutan kes di mahkamah pada 9 Sept ini.

Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis mengklasifikasikan semula kes pengawal keselamatan Thava Sagayam yang meninggal dunia Jumaat lalu sebagai kes bunuh.
PETALING JAYA:
Lelaki yang sebelum ini didakwa menyerang seorang pengawal keselamatan di Ipoh tidak boleh ditahan semula tetapi tuduhan lebih berat akan dikemukakan di mahkamah, kata Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid.

Ini kerana mengikut Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang dibebaskan atau disabitkan bersalah tidak boleh dibicarakan lagi atas kesalahan sama kecuali jika sabitan atau pembebasan itu dibatalkan dan perbicaraan semula diadakan atas arahan mahkamah lebih tinggi.

Polis mengklasifikasikan semula kes pengawal keselamatan Thava Sagayam, yang meninggal dunia di rumahnya di Ipoh Jumaat lalu sebagai kes bunuh.

Mior Faridalathrash berkata, polis sedang menunggu arahan lanjut daripada timbalan pendakwa raya.

“Tertuduh dijangka hadir ke mahkamah pada 9 Sept untuk sebutan kes tetapi kami juga melihat kepada pertuduhan lebih berat dikenakan kepadanya.

“Kami menunggu jawapan timbalan pendakwa raya,” katanya menurut laporan The Malaysian Insight.

Noor Azhar Muhammad, yang dilaporkan merupakan ahli Pemuda Bersatu bahagian Kota Baru, sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan kerana menyerang Thava, 64, menggunakan meja di sebuah kondominium di Ipoh pada 29 Dis 2020.

Dia dibenarkan diikat jamin sehingga sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Ipoh pada minggu depan.

Thava dilaporkan diserang kerana enggan membenarkan anak lelaki Azhar menggunakan kolam renang yang ditutup pada masa itu.

Thava dimasukkan ke hospital selepas serangan itu dan menjalani lapan pembedahan di kepala.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru tetapi keluarganya mendakwa kesihatan Thava merosot disebabkan kesan serangan itu.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi bagaimanapun berkata, polis perlu menahan semula Azhar susulan kematian mangsa.

“Bagi kesalahan mencederakan boleh diikat jamin tetapi pertuduhan bunuh tidak ada ikat jamin.

“Lelaki terbabit boleh ditahan jika pendakwa bersetuju menambah pertuduhan. Namun polis boleh dan sepatutnya menahan pelaku.

“Walaupun bagi tujuan siasatan (polis boleh menahannya) kerana kematian baru berlaku. Ini adalah perkembangan dalam kes berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.