Bukit Aman ambil keterangan ‘Sittah Annur’ berhubung ajaran sesat

Bukit Aman ambil keterangan ‘Sittah Annur’ berhubung ajaran sesat

Menurut sumber, sepasukan anggota polis mengambil keterangan seorang wanita dikenali 'Sittah Annur' atau nama sebenarnya Masitah Ab. Jalar di rumahnya di Selangor.

Semalam, polis berkata, isu dan kegiatan wanita berkenaan masih dalam kawalan dan polis tidak boleh terburu-buru ketika melakukan siasatan.
KUALA LUMPUR:
Polis telah mengambil keterangan seorang wanita dikenali sebagai ‘Sittah Annur’ yang dikaitkan dengan ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), semalam.

Menurut sumber, sepasukan polis mengambil keterangan Sittah Annur atau nama sebenarnya Masitah Ab Jalar di rumahnya di Selangor.

Sumber berkata, selain Sittah Annur, suaminya dan pengikut rapatnya turut dirakam percakapan dan diambil keterangan bagi meneliti dan memastikan kebenaran pelbagai dakwaan yang dibuat.

“Namun, adalah jelas bahawa tindakan beliau ini menimbulkan kegusaran umum dan mengganggu-gugat ketenteraman awam serta boleh dikenakan tindakan keras di bawah undang-undang yang berkaitan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, setakat ini perhubungan wanita itu dengan para pengikutnya adalah secara maya (melalui media sosial) dan tiada pertemuan secara fizikal.

Sumber berkata, pihak polis juga telah mengenal pasti identiti sebenar Sittah Annur dan sedang memantau pergerakannya.

Sebelum ini, tular di media sosial seorang wanita dengan gelaran Sittah Annur dikaitkan dengan ajaran sesat PMYT mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan dia memimpin pasukannya bagi mencari imam Mahdi untuk melawan musuh.

Wanita berkenaan juga mendakwa dirinya mempunyai keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa yang akan berlaku pada masa depan.

Semalam, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, isu dan kegiatan wanita berkenaan masih dalam kawalan dan polis tidak boleh terburu-buru ketika melakukan siasatan kerana perlu mengumpul maklumat lengkap serta siasatan yang melibatkan jabatan lain termasuk Jabatan Agama Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.