Polis keluar lebih 12,000 saman pada ambang tahun baharu

Polis keluar lebih 12,000 saman pada ambang tahun baharu

Selain itu, 390 kenderaan disita dan 25 individu ditahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan, menurut Bukit Aman.

Ops Ambang Tahun Baharu 2026 dilaksanakan di 240 lokasi seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang sambutan ambang tahun baharu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis mengeluarkan 12,437 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas di seluruh negara menerusi Ops Ambang Tahun Baharu 2026.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya turut menyita 390 kenderaan dan menahan 25 individu mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Selain itu, 20 individu ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, tiga di bawah Kanun Keseksaan dan tiga lagi di bawah akta lain.

Mohd Yusri berkata, operasi berkenaan dilaksanakan di 240 lokasi seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang sambutan ambang tahun baharu.

Tambahnya, seramai 327 pegawai kanan dan 2,460 pegawai rendah polis terlibat dalam operasi bermula 9 malam semalam hingga 2 pagi tadi, dengan kerjasama beberapa agensi luar.

“Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan 258 anggota; Agensi Antidadah Kebangsaan (80); Jabatan Alam Sekitar (70); Jabatan Imigresen Malaysia (58); konsesi lebuh raya (54); serta pihak berkuasa tempatan (lapan),” katanya menerusi kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.