Aktivis sambut baik cadangan Parlimen bebas

Aktivis sambut baik cadangan Parlimen bebas

Mereka berharap sokongan dua pertiga akan dapat diperoleh bagi meminda bahagian Perlembagaan yang relevan dalam mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

Menteri undang-undang yang baharu dilantik, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemimpin kedua-dua Dewan memberikan maklum balas positif terhadap cadangan pembaharuan institusi.
PETALING JAYA:
Cadangan pembaharuan institusi Parlimen, termasuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan pada 1992 mendapat pujian aktivis.

Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann menyambut baik cadangan tersebut dan berharap sokongan dua pertiga yang diperlukan untuk meminda bahagian berkaitan Perlembagaan Persekutuan dapat dicapai bagi membolehkan reformasi dilaksanakan.

Beliau berharap cadangan itu dan pengukuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dapat dilakukan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 adalah langkah yang membolehkan Parlimen mengurus sendiri pentadbiran, kakitangan dan kewangannya.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menyarankan supaya menteri berkenaan duduk bersama jawatankuasa terpilih dan anggota masyarakat bagi menentukan reformasi yang diperlukan untuk memperkukuh demokrasi berparlimen.

“Jangan buat pengumuman sedikit demi sedikit,” katanya.

“Ada banyak pembaharuan yang harus dilakukan di Parlimen. Pengumuman semacam ini tidak begitu berguna kerana beliau harus memaklumkan kepada kami butiran perubahannya.

Menteri undang-undang baharu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini berkata, pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen adalah agenda dalam perbincangannya dengan Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun semalam.

“Kedua-dua Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat menerima cadangan itu secara positif dan bersedia untuk mengambil peranan utama dalam transformasi Parlimen kita,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Sementara itu, Maria berkata, banyak Ahli Parlimen mendesak supaya Akta Perkhidmatan Parlimen dikembalikan tetapi perlu ada komitmen daripada kerajaan bahawa ia disertakan dengan dana persekutuan dan tidak ada campur tangan eksekutif.

“Menteri perlu meneliti hal ini kerana tidak ada gunanya memiliki undang-undang yang bagus tanpa Parlimen yang bebas.”

Katanya, cadangan itu mesti dikemukakan di hadapan jawatankuasa pilihan khas untuk dibahaskan sebelum dikemukakan ke Parlimen.

“Kerajaan harus menerima pakai pendekatan baharu, iaitu inklusif, akauntabiliti dan ketelusan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mereka menyokong pengumuman mengenai pembaharuan Parlimen saelain menambah bahawa apa-apa pembaharuan Parlimen dan demokrasi mesti merangkumi langkah mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

“Ramai, termasuk Ahli Parlimen, bekas penggubal undang-undang, ahli akademik dan pengamal undang-undang berkata, Akta Perkhidmatan Parlimen, yang dimansuhkan pada tahun 1992, sangat penting dalam memulihkan hak dan hak istimewa Parlimen sebagaimana dimaksudkan dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Beliau berkata, pengenalan semula akta tersebut akan mengembalikan kuasa dan autonomi Parlimen ke atas urusannya sendiri seperti pentadbiran, prosedur, penyelidikan, penerbitan, kewangan dan sumber manusia, yang semuanya kini dikendalikan oleh pegawai kerajaan pusat.

“Pemuda Umno juga berharap akan dapat dimasukkan dalam proses perundingan penyediaan rang undang-undang (untuk mengembalikan semula akta).”

Senator DAP Liew Ching Tong dalam kenyataan di laman media sosialnya berkata, beliau “agak terkejut” membaca kenyataan Wan Junaidi mengenai Akta Perkhidmatan Parlimen.

“Kenyataannya menunjukkan perubahan Parlimen yang ditunggu-tunggu oleh rakyat selama beberapa dekad menjadi kenyataan.

“Saya harap beliau akan meninggalkan warisan dengan menjadikan tempoh masa jawatannya sebagai tempoh yang paling transformatif di Parlimen Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.