
Wan Junaidi, bekas menteri undang-undang dan bekas timbalan speaker Dewan Rakyat menekankan Akta Kualiti Alam Sekitar 1975 sebagai contoh penggubalan undang-undang tidak berperlembagaan, lapor Dayak Daily.
Beliau berkata apabila undang-undang itu digubal pada 1975, alam sekitar tidak termasuk dalam senarai persekutuan, negeri atau senarai bersama.
Senarai-senarai ini yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan, menentukan tahap kerajaan mana yang boleh menggubal undang-undang bagi sesuatu subjek tertentu.
Beliau menambah, jika sesuatu perkara tidak ada dalam senarai tersebut, ia tertakluk di bawah bidang kuasa negeri seperti diperuntukkan dalam Artikel 77 Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi, bagaimana mereka terus menggubal Akta Alam Sekitar 1975?
“Itu bermakna mereka menggubal undang-undang mengenai perkara menjadi hak negeri,” katanya ketika menyampaikan ucapan mengenai ‘Perjanjian Malaysia’.
Wan Junaidi juga berkata kerajaan persekutuan sering mempertahankan tindakannya dengan merujuk kepada konvensyen dan persidangan antarabangsa, yang hanya Putrajaya boleh hadiri bagi pihak Malaysia.
Salah satu contohnya Paris Agreement 2015, sebuah perjanjian antarabangsa mengenai perubahan iklim disertai 195 negara.
Beliau bertanya sama ada kerajaan persekutuan telah mendapatkan kebenaran daripada negeri.
“Alam sekitar adalah milik negeri, tetapi mereka teruskan juga,” katanya.
Beliau turut menyenaraikan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, pengisytiharan unilateral Bintulu sebagai pelabuhan Persekutuan pada 1979, dan pengambilalihan sektor pelancongan pada 1994 sebagai contoh pelanggaran hak negeri.