KKMM akan cadang industri kreatif dibenar beroperasi semula

KKMM akan cadang industri kreatif dibenar beroperasi semula

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata, cadangan SOP untuk industri kreatif turut akan diserahkan kepada MKN dalam masa terdekat.

Annuar Musa berkata, tiba masanya untuk mempertimbangkan kelonggaran dan SOP tertentu buat industri kreatif, khasnya mereka yang sudah lengkap divaksin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mencadangkan agar industri kreatif diberi kelonggaran untuk kembali beroperasi selepas terjejas teruk akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menterinya, Annuar Musa berkata, cadangan SOP untuk industri kreatif turut akan diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

“Pendukung industri kreatif begitu lama terkesan dengan PKP. Tiba masanya kita bentang kepada MKN untuk segera pertimbangkan kelonggaran dengan SOP tertentu, khasnya bagi mereka yang sudah diberi dua suntikan vaksin.

“Semoga ada berita baik buat mereka tidak lama lagi,” tulisnya di Twitter.

Jun lalu, tinjauan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) mendapati kira-kira 93% daripada pemuzik, pelukis dan penggiat industri kreatif lain menerima kesan negatif akibat PKP, dengan 70% daripadanya hilang punca pendapatan.

Susulan itu, kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) memperuntukkan RM89.2 juta kepada penggiat industri kreatif.

Pada 5 Ogos lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, RM54 juta daripada jumlah itu sudah diagihkan kepada penggiat industri kreatif negara.

Sehingga kini, dana itu memanfaatkan lebih 14,000 penggiat industri filem, kandungan kreatif digital serta muzik.

Katanya, kerajaan menyasarkan baki dana itu diagihkan kepada penggiat industri kreatif sebelum hujung tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.