Majlis Ekonomi Jingga akan dibentuk rancak industri kreatif, kata Fahmi

Majlis Ekonomi Jingga akan dibentuk rancak industri kreatif, kata Fahmi

Menteri komunikasi berkata industri kreatif seperti filem, muzik dan animasi, menyumbang 6.8% KDNK pada 2024.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata majlis itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan kementeriannya antara berperanan dalam membentuk majlis berkenaan. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kerajaan akan menubuhkan segera Majlis Ekonomi Jingga dalam usaha merancakkan lagi industri kreatif yang dilihat berpotensi membantu pertumbuhan ekonomi ketika negara turut berdepan krisis tenaga global.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata majlis berkenaan akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata Kementerian Komunikasi merupakan antara sekretariat dan berperanan dalam membentuk majlis berkenaan.

“Ada beberapa jawatankuasa yang akan dibentuk dan arahan yang telah diberikan kepada kementerian (Komunikasi) adalah untuk membentuk majlis ini pada kadar segera. Kita jangka pada ketika krisis tenaga global sedang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Johor.

Sektor ekonomi jingga, merangkumi industri kreatif seperti filem, muzik dan animasi, menyumbang 6.8% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024.

Fahmi berkata industri itu juga dilihat mampu diperkasakan menerusi Nadi yang menyediakan prasarana dan kemudahan dengan Internet berkelajuan tinggi.

Sementara itu, katanya setakat ini terdapat sebanyak 1,098 Nadi di seluruh negara dengan jumlah keahlian mencecah 1.9 juta orang, dengan Johor mencatatkan 101 Nadi melibatkan 200,000 keahlian.

Beliau berkata sebuah lagi Nadi di Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah pula dijangka siap dalam dua atau tiga bulan ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata watikah pelantikan pengerusi komuniti Madani seluruh Johor akan diserahkan pertengahan April ini.

Terdahulu, Fahmi menyerahkan watikah pelantikan kepada 26 pengerusi panel penasihat Nadi Johor merangkumi kawasan di setiap Parlimen.

Pelantikan itu dijangka meningkatkan penglibatan pemimpin tempatan dan komuniti, memperkukuh penyelarasan program serta memastikan pelaksanaan inisiatif Nadi menepati keperluan komuniti setempat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.