
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, ini perlu kerana kerajaan nampaknya memberi lampu hijau kepada pembinaan lapangan terbang Kulim.
Katanya, kajian itu perlu ditangguhkan untuk kerja peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang sangat diperlukan.
Beliau merujuk Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang diumumkan Kementerian Pengangkutan tahun lalu.
Menurut NASP, semua kerja menaik taraf atau pembinaan lapangan terbang baharu akan ditangguhkan sehingga kajian itu selesai pada 2023.
Zairil berkata, dengan kerja di lapangan terbang Kulim nampaknya diteruskan, banyak persoalan dibangkitkan oleh pelancong dan industri di Pulau Pinang.
“Adakah projek lapangan terbang Kulum dipersetujui dan diluluskan kerajaan persekutuan, walaupun semua projek lapangan terbang ditangguhkan sementara menunggu NASP?” soalnya dalam kenyataan.
“Jika kerja di lapangan terbang Kulim diteruskan, apakah kesannya ke atas peluasan lapangan terbang Pulau Pinang? Lapangan terbang ini ialah sumber keuntungan Malaysia Airports dari segi ketibaan penumpang dan kargo.”
Zairil berkata, lapangan terbang Pulau Pinang adalah salah satu daripada lapangan terbang paling menguntungkan di negara ini buat Malaysia Airports sebelum pandemik dan ia dijangka beroperasi semula sebaik sahaja sempadan dibuka kembali.
“Dengan peningkatan kadar vaksinasi dan sektor ekonomi dibuka secara beransur-ansur, ia tidak memerlukan masa lama untuk lapangan terbang itu mencapai tahap dahulu dari segi jumlah penumpang.
“Oleh itu, tidakkah bijak untuk memulakan peluasannya sekarang ketika lapangan terbang itu hampir kosong sebagai persiapan buat masa depan?”
Kedah merancang membina lapangan terbang baharu di tenggara Sungai Petani yang akan dinamakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim. Ia dijangka mempunyai kapasiti untuk mengendalikan 15 juta penumpang setahun (mppa) menjelang 2024.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini berkata, lapangan terbang itu akan dipercepatkan “seperti dijanjikan” Kementerian Pengangkutan walaupun NASP.
Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong dilaporkan berkata, projek itu sudah diberikan kelulusan prinsip oleh kerajaan.
Lapangan terbang Pulau Pinang sepatutnya dinaik taraf daripada mengendalikan 6.5mppa kepada 12mppa pada 2020, tetapi rancangan itu tidak diteruskan selepas kerajaan baharu dibentuk tahun lalu.
Lapangan terbang itu mengendalikan 8.3mppa pada 2019.