
Pesuruhjaya Kehakiman Ong Chee Kwan berkata, beliau mendapati Mohamad Nizam Mohamad telah mengugut untuk menarik balik kontrak mereka bernilai jutaan ringgit melainkan jika pegangan saham dipindahkan kepada syarikat milik isterinya, Norhana Sharkhan.
Ong, dalam penghakimannya berjumlah 115 muka surat minggu lalu, mendapati tingkah laku Nizam sangat “tidak boleh diterima”, maka beliau memutuskan ganti rugi teladan sebanyak RM500,000 harus diberikan kepada ketiga-tiga pemegang saham terbabit.
“Saya bersetuju bahawa ganti rugi teladan harus diberikan dalam kes ini. Objektif utama Nizam ialah untuk mendapatkan wang diperolehi plaintif dalam rancangannya,” katanya.
Beliau berkata, Nizam tidak menyumbang apa-apa kepada sistem itu tetapi ingin mendapatkan faedah daripada hasil usaha dilakukan oleh plaintif.
“Untuk mencapai objektifnya, Nizam secara terang-terangan memeras ugut syarikat terbabit dengan memberinya sejumlah wang dan kawalan yang besar terhadap syarikat,” katanya.
“Tindakannya mencetuskan ketakutan, tekanan dan putus asa terhadap Aminul Islam Abdul Nor (turut dikenali sebagai Amin) dan plaintif lain.
“Tindakan itu juga boleh memberi kesan buruk terhadap keupayaan syarikat yang telah berjasa dengan kerajaan Malaysia.”
Sekiranya mahkamah tidak memberikan ganti rugi teladan itu Ong berkata, Nizam tidak akan mengalami nasib yang teruk memandangkan sejak awal lagi dia tidak pernah memiliki sebarang pegangan saham dalam syarikat terbabit.
Beliau memerintahkan supaya semua saham itu dipindahkan semula kepada syarikat dengan secepat mungkin dan mengisytiharkan perjanjian itu terbatal.
Katanya, terdapat tekanan ekonomi yang dihadapi selain tindakan menyalahi undang-undang akibat campur tangan pengaruh dan ia adalah pengayaan secara tidak adil sekiranya Nizam atau Norhana dibenarkan memegang saham berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan Nizam membayar kos sebanyak RM360,000 kepada plaintif yang diwakili Tommy Thomas, K Shanmuga, V Jeya Kumar dan Jonas Lee Fook Khong.
JR Joint Resources Holdings Sdn Bhd, Mohd Zaki Jaafar dan SH Yahya SH Mohamed memfailkan saman secara berasingan terhadap Norhana.
Mahkamah turut menerima bahawa Norhana hanyalah ejen kepada Nizam.
JR Joint Resources, Zaki dan SH Yahya adalah pemegang saham kepada tiga entiti korporat, iaitu Bestinet Sdn Bhd, Tass Tech Sdn Bhd dan Synerflux Sdn Bhd.
Melalui beberapa perjanjian, Norhana menerima 49% modal saham Bestinet dan masing-masing 70% dalam Tass Tech dan Synerflux.
Syarikat itu memfokuskan dalam membangunkan dan melaksanakan penyelesaian perisian atau platform yang direka untuk membantu kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri dalam pengambilan pekerja asing oleh majikan Malaysia dan menyaring penumpang yang masuk dan keluar negara.
Walaupun semua plaintif daripada entiti yang berbeza, semua mereka mempunyai kaitan dengan Amin, iaitu penggerak utama platform di sebalik entiti berkenaan.
Plaintif itu mendakwa defendan secara tidak sah telah memberi tekanan dan memaksa pemindahan saham dalam syarikat masing-masing yang membangunkan perisian itu kepada Norhana.
Ini dilakukan dengan mengancam akan mengganggu rundingan dan kontrak plaintif dengan kerajaan menggunakan hubungan rapat dan pengaruh defendan dengan “individu berkuasa” dalam kerajaan.
Plaintif yang memfailkan saman pada lewat 2018, berkata, perjanjian yang ditandatangani dengan defendan itu dilakukan kerana berlakunya tekanan ekonomi, paksaan, penyalahan undang-undang, kegagalan membuat pertimbangan, pelanggaran syarat dan ‘unjust enrichment’.
Mereka juga meminta pengisytiharan bahawa perjanjian itu tidak sah dan mesti dibatalkan serta saham harus dipulangkan, yang semuanya telah dibenarkan mahkamah.
Peguam P Porres Royan, C Vijaya Kumar, S Shaarvin dan Roobini Stephanie Sittampalam mewakili Norhana dalam kes itu.