
“Suka atau tidak, di Lembah Klang, terdapat ramai individu yang tidak berdaftar bawah sistem MySejahtera, jadi kita tak dapat buat kesimpulan bahawa kita sudah capai tahap tinggi dalam vaksinasi,” katanya sebagai respons terhadap laporan bahawa 741 klinik di Selangor telah menerima notis bahawa mereka tidak akan lagi mendapat janji temu vaksinasi.
Kata Dzulkefly, GP swasta mungkin menjadi harapan terbaik bagi mereka yang tertinggal daripada sistem MySejahtera untuk mendapatkan vaksin.
“Menutup pusat pemberian vaksin (PPV) mega adalah langkah yang baik, kerana ia memakan kos yang tinggi apabila sebilangan besar orang telah menerima vaksin,” katanya.

“Bagaimanapun, CITF tidak sepatutnya menamatkan kontrak untuk menggunakan kemudahan klinik swasta, sebaliknya harus meneruskannya untuk membolehkan mereka yang belum divaksin mendapat akses kepada vaksin.”
Dzulkefly memberi respons kepada laporan bahawa beberapa PPV di Lembah Klang akan ditutup secara berperingkat setelah sasaran imunisasi Covid-19 hampir dicapai.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) dan GP swasta sekarang akan melakukan apa yang diperlukan untuk memenuhi keperluan vaksinasi Covid-19 pada masa hadapan bagi pendaftar baharu, orang muda dan jika dos penggalak diperlukan.
Dzulkefly mengingatkan, tiada alasan untuk mengurangkan usaha vaksinasi sekarang kerana jumlah kes masih tinggi.
“Kapasiti unit rawatan rapi (ICU) masih penuh, sementara jumlah kematian harian di Selangor sekitar tiga angka,” katanya.

Sementara itu, bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, CITF mesti menjelaskan mengapa GP swasta tidak lagi dilibatkan dalam fasa-fasa terakhir Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Adakah kerana (bekalan) vaksin tidak cukup atau kerana program vaksinasi di Lembah Klang hampir selesai?” soalnya.
“Adakah baki penerima vaksin akan terkesan dengan (keputusan) ini?”
Baru-baru ini, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy mempersoalkan mengapa CITF tiba-tiba menamatkan janji temu vaksinasi di klinik GP swasta di Selangor.
CITF dalam jawapannya berkata, doktor swasta mungkin masih mempunyai peranan dalam memberi vaksin kepada orang ramai. Ia juga menafikan bahawa penglibatan GP dalam PICK telah dihentikan.