
Dzulkefly berkata sistem Diagnosis Related Group (DRG) — di mana hospital akan dibayar pada kadar tetap bagi setiap kes rawatan dan bukannya berdasarkan caj terperinci — diwujudkan untuk mengawal inflasi perubatan dan menggalakkan amalan bil yang lebih adil.
Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH–Cheras) yang bertanya mengapa sistem DRG, yang pada asalnya dijadual dilaksanakan tahun ini, telah ditangguhkan. Tan juga bertanya sama ada kelewatan itu dipengaruhi oleh lobi daripada pengendali hospital swasta yang bimbang ia akan menjejaskan margin keuntungan mereka.
Dzulkefly berkata, model bayaran semasa yang digunakan di hospital swasta — iaitu fee-for-service — telah menyebabkan caj yang tidak konsisten dan sering melambung tinggi, manakala sistem DRG akan membawa penyeragaman, keadilan, dan penjagaan kesihatan berasaskan nilai.
“Saya ingin jelaskan — penangguhan ini bukan disebabkan lobi atau tekanan luar. Tidak sama sekali,” katanya di Dewan Rakyat.
“Inisiatif sepenting ini mesti dilaksanakan dengan teliti, dengan persediaan rapi serta langkah mitigasi bagi mengelak kesan tidak diingini.”
Menteri itu berkata, beberapa cabaran perlu diselesaikan sebelum pelaksanaan sepenuhnya, termasuk kekangan masa, data rawatan yang belum lengkap, serta kekurangan tenaga kerja mahir.
“Kami mahu sistem DRG ini dilaksanakan secepat dan efektif yang mungkin, tetapi jangka masa yang t penjagaan kesihatan swasta bagi membangunkan piawaian pembayaran yang adil serta memastikan sistem baharu ini berfungsi dengan lancar.
Dzulkefly berkata, kementerian bercadang untuk memperkenalkan kerangka DRG kebangsaan yang disesuaikan dengan keperluan Malaysia, namun tidak menetapkan tarikh pelaksanaan rasmi.
Timbalannya, Lukanisman Awang Sauni, semalam berkata bahawa pelaksanaan penuh sistem DRG adalah pada 2027, ditunda daripada sasaran asal pertengahan 2025. Beliau berkata, tempoh tambahan itu akan digunakan untuk membangunkan sistem, memuktamadkan model kos, menyepadukan data hospital, dan menjalankan ujian perintis.
Sistem DRG, yang digunakan secara meluas di negara seperti Amerika Syarikat (AS) , Australia, Jerman dan Korea Selatan, menyeragamkan pembayaran hospital dengan mengenakan caj tetap berdasarkan diagnosis dan jenis rawatan.
Kos penjagaan kesihatan swasta meningkat dengan ketara tahun lalu, menyebabkan kenaikan premium insurans sehingga 70%. Bank Negara Malaysia kemudian menghadkan kenaikan premium kepada 10% selama tiga tahun sementara mencari penyelesaian jangka panjang untuk membendung inflasi perubatan.
KKM menerima 817 aduan terhadap hospital swasta antara 2021 hingga 2024, di mana 188 aduan (23%) berkaitan bil dan caj rawatan.