Tiga lelaki ditahan dipercayai terbabit sindiket antarabangsa penipuan tawaran pekerjaan dalam talian

Tiga lelaki ditahan dipercayai terbabit sindiket antarabangsa penipuan tawaran pekerjaan dalam talian

Pengarah JSJK Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din mendedahkan, sindiket mempunyai kaitan dengan 95 laporan polis membabitkan mangsa di Singapura dengan nilai kerugian SGD690,000 (RM2.15 juta) dan sekurang-kurangnya satu laporan polis di Malaysia melibatkan kerugian RM21,700.

Mohd Kamarudin Md Din berkata, sindiket itu mula beroperasi sekitar Jun tahun ini, menggunakan kemudahan media sosial seperti Instagram dan Facebook menawarkan peluang kerja sebagai ejen syarikat untuk membeli barangan diiklankan melalui platform e-dagang.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan tiga lelaki tempatan kerana disyaki terbabit dengan sindiket antarabangsa berhubung penipuan tawaran kerja dalam talian menerusi serbuan di sebuah kondominium mewah di Taman Desa Skudai, Johor Bahru, Johor, pada Khamis.

Kesemua mereka yang berumur 21 hingga 27 tahun itu ditahan hasil serbuan Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama polis Singapura di unit kondominium itu yang dipercayai menjadi pusat operasi sindiket antarabangsa penipuan tawaran pekerjaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din, berkata berdasarkan siasatan, sindiket itu mula beroperasi sekitar Jun tahun ini, menggunakan kemudahan media sosial seperti Instagram dan Facebook menawarkan peluang kerja sebagai ejen syarikat untuk membeli barangan diiklankan melalui platform e-dagang.

“Pembelian itu didakwa untuk menaikkan rating dan nilai jualan syarikat berkaitan yang menjanjikan pendapatan harian antara RM200 hingga RM300.

“Mangsa yang berminat akan menerima mesej melalui WhatsApp yang mengandungi pautan untuk barangan yang perlu dibeli malah bagi setiap barangan yang dibeli, mangsa akan dibayar semula nilai barangan yang dibeli berserta tambahan komisen lima hingga lapan peratus,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Kamarudin berkata proses pembelian dan bayaran semula akan berulang dimulai dengan barangan murah namun apabila mangsa membuat pembelian barangan yang mahal, bayaran balik tidak lagi dibuat atas alasan masalah pemindahan wang.

Beliau berkata mangsa seterusnya diminta membuat bayaran ke dalam akaun keldai kononnya sebagai yuran pemprosesan, penalti cukai, tukaran wang asing dan sebagainya.

“Mangsa hanya akan sedar ditipu apabila wang yang dijanjikan tidak diterima walaupun mereka telah membuat pembayaran wang.

“Berpandukan kepada rampasan yang dibuat, dipercayai sindiket ini mempunyai kaitan dengan 95 laporan polis melibatkan mangsa di Singapura dengan nilai kerugian SGD690,000 dan sekurang-kurangnya satu laporan polis di Malaysia melibatkan kerugian RM21,700,” katanya.

Mohd Kamarudin berkata hasil siasatan mendapati kesemua lelaki yang ditahan berperanan untuk memindahkan wang hasil penipuan daripada akaun keldai ke akaun e-wallet yang diberikan oleh pihak atasan sindiket.

“Mereka ini ditugaskan untuk membuat pembelian mata wang kripto (usdt) dan menerima komisen 0.2 peratus dengan nilai anggaran SGD600 setiap hari. JSJK dan polis Singapura sedang berusaha untuk mengesan saki-baki sindiket ini yang masih bebas.

“Selain itu, polis turut merampas antaranya dua unit komputer riba, tujuh unit telefon bimbit, 12 keping kad ATM, dua unit penghala (router) dan beberapa dokumen berkaitan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Mohd Kamarudin menasihatkan agar orang ramai sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya agar tidak menjadi mangsa kepada kegiatan penipuan sebegini.

Dalam pada itu, JSJK menerima 164 laporan polis berkaitan penipuan tawaran kerja ejen jualan platform e-dagang di seluruh negara melibatkan kerugian dianggar bernilai RM2.9 juta setakat 12 Julai lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.