PM ziarah kubur tak langgar SOP, kata MKN

PM ziarah kubur tak langgar SOP, kata MKN

Ketua Pengarahnya Rodzi Md Saad berkata perkara itu tidak dinyatakan secara khusus dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini berbanding larangan khusus melawat kubur ketika sambutan Aidilfitri dan Aidiladha sebelum ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengaminkan bacaan doa ketika menziarahi pusara ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Kawah, Temerloh, hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tindakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melakukan ziarah ke pusara ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Kawah, Temerloh hari ini tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP), kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara Rodzi Mat Saad.

Rodzi berkata, larangan ziarah kubur tiada dinyatakan secara khusus dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini.

Katanya, aktiviti ziarah itu tidak membabitkan kumpulan individu yang ramai dan bukan berlaku setiap hari.

“Saya rasa tidak ada isu berbangkit kerana mereka yang hadir memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

“Sebelum ini memang ada SOP ziarah kubur dikeluarkan MKN, namun ia khusus sempena sambutan Aidiladha dan Aidilfitri kerana dikhuatiri berlaku kehadiran pengunjung yang ramai pada satu-satu masa,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Terdahulu, Perdana Menteri menziarah pusara bapanya, Allahyarham Yaakob Abdul Rahman dan ibunya, Allahyarhamah Wan Jah Wan Hamat, di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Kawah, Temerloh, pada jam 11.30 pagi.

Bagaimanapun, tindakan Ahli Parlimen Bera itu mengundang perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk mereka yang mendakwa beliau melanggar SOP.

Rodzi berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung isu berkenaan dan memutuskan tiada keperluan merangka SOP khusus bagi ziarah kubur.

“Aktiviti ziarah kubur terkawal. Mereka pun pergi sekali-sekala.

“Kalau kita nak rangka SOP mengenai sesuatu aktiviti, kena lihat kepentingannya. Setakat ini, tiada keperluan untuk berbuat demikian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.