SPRM nafi halang Albert Tei buat aduan

SPRM nafi halang Albert Tei buat aduan

Agensi antirasuah berkata setiap pelawat perlu ada pas yang sah dan melalui pemeriksaan keselamatan oleh pegawai bertugas sebelum dibenarkan masuk.

logo sprm macc
SPRM menafikan wujud isu berkaitan gender dalam proses rakaman aduan atau pengambilan keterangan.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan menghalang mana-mana individu membuat aduan, sebaliknya menegaskan kawalan kemasukan ke premisnya adalah prosedur operasi standard (SOP) biasa.

Kenyataan itu menyusul laporan mengenai ahli perniagaan Albert Tei yang mendakwa dilarang memasuki ibu pejabat agensi itu pagi tadi.

SPRM berkata, setiap individu ingin memasuki premis mereka tertakluk kepada kawalan keselamatan bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

“Dakwaan konon SPRM menghalang individu membuat aduan adalah tidak benar dan merupakan cubaan mewujudkan persepsi negatif terhadap prosedur penguatkuasaan serta tatacara keselamatan kami,” katanya dalam kenyataan.

Agensi antirasuah itu menegaskan, setiap pelawat perlu mempunyai kebenaran atau pas yang sah serta melalui pemeriksaan keselamatan oleh pegawai bertugas sebelum dibenarkan masuk.

SPRM turut menafikan wujud isu berkaitan gender dalam proses rakaman aduan atau pengambilan keterangan.

“SPRM sentiasa terbuka menerima sebarang aduan dan maklumat berkaitan rasuah daripada mana-mana pihak tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu terbabit.

“Kami menolak sekeras-kerasnya cubaan memanipulasi SOP keselamatan bagi membina naratif kononnya suruhanjaya ini cuba menyekat atau menghalang proses pengaduan,”katanya.

Terdahulu, Tei dilaporkan mendakwa dihalang memasuki premis agensi itu bersama dua peguamnya bagi menyerahkan laporan rasmi berhubung dakwaan terhadap bekas ketua pesuruhjaya Azam Baki.

Katanya, pegawai bertugas hanya membenarkan seorang peguam menemaninya walaupun sudah menjelaskan keperluan membawa peguam wanita sebagai langkah berjaga-jaga jika berdepan pegawai penyiasat wanita.

Tei turut menyifatkan insiden itu sebagai bukti wujudnya layanan berbeza dalam sistem penguatkuasaan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.