Polis keluarkan lakaran wajah suspek rompakan kedai emas di Kepong

Polis keluarkan lakaran wajah suspek rompakan kedai emas di Kepong

Dua motosikal yang digunakan dalam rompakan tersebut dikenal pasti jenis Yamaha Y150ZR berwarna hitam dan firus dengan menggunakan nombor plat pendaftaran palsu.

Lakaran wajah salah seorang daripada empat suspek berdasarkan keterangan saksi manakala beberapa gambar suspek dan motosikal yang digunakan diambil dari kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis mengeluarkan satu lakaran wajah dan beberapa imej gambar empat suspek yang disyaki terbabit dalam rompakan di sebuah kedai emas di Kepong, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata, lakaran wajah salah seorang daripada empat suspek itu berdasarkan keterangan saksi manakala beberapa gambar suspek dan motosikal yang digunakan diambil dari kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.

Beliau berkata, dua motosikal yang digunakan dalam rompakan tersebut dikenal pasti jenis Yamaha Y150ZR berwarna hitam dan firus dengan menggunakan nombor plat pendaftaran palsu.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menyalurkan maklumat berkenaan ke Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Sentul di talian 03-40482206 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam kejadian tersebut suspek yang memakai topeng muka dan bertopi keledar serta bersenjatakan tukul dan kapak telah memecahkan almari pameran dan melarikan sejumlah barang kemas berupa rantai leher serta gelang tangan bernilai kira-kira RM50,000.

Dalam perkembangan lain, polis sedang mengesan lapan lelaki tempatan disyaki terlibat dalam pergaduhan di tempat letak kereta Rumah Pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Setapak Jaya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Ashari Abu Samah berkata, pergaduhan berkenaan dipercayai berlaku pada kira-kira jam 7 pagi yang kemudian dirakam oleh penduduk kejiranan di situ dan ditularkan di media sosial.

“Dalam video berkenaan, enam lelaki tempatan bersenjatakan kunci ‘padlock’, topi keledar dan pisau memukul dua lelaki tempatan lain di tempat kejadian dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Ashari meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Emilia Jamil (016-2479017), Pegawai Penyiasat Kanan S Gopal (012-5120242) atau talian hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau mana-mana balai polis terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.