Banjir Yan: Operasi temui petunjuk mangsa hilang

Banjir Yan: Operasi temui petunjuk mangsa hilang

Ketua Polis Daerah Yan Shahnaz Akhtar Haji berkata ia susulan usaha pencarian agresif pada hari keempat operasi hari ini dengan bantuan jentera berat.

Ketua Polis Daerah Yan Shahnaz Akhtar Haji berkata operasi mencari dan menyelamat menemui petunjuk dua mangsa berkenaan. (Gambar Bernama)
YAN:
Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) percaya telah menemui petunjuk mengenai dua mangsa yang masih hilang dalam kejadian banjir akibat fenomena kepala air berlaku Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Yan Shahnaz Akhtar Haji berkata ia susulan usaha pencarian yang dilakukan secara agresif pada hari keempat operasi hari ini dengan bantuan jentera berat.

“Ada petunjuk (ditemukan hari ini), cuma esok akan pastikan apabila kita mulakan semula operasi pada 8 pagi dan kita telah plot kawasan-kawasan yang kita syaki mangsa dihanyutkan.

“Operasi kita hari ini dan seterusnya akan agresif, kita bawa masuk jentera berat seperti ‘backhoe’ (pengorek kaut) dan ‘excavator’ (mesin pengorek) ke kawasan yang disyaki mangsa dihanyutkan untuk mencari di bawah lumpur dan timbunan kayu-kayu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, beliau meminta sukarelawan daripada pelbagai badan bukan kerajaan, syarikat atau orang perseorangan yang datang ke daerah ini untuk mendaftar dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) agar bantuan dapat diselaras dan diagihkan dengan berkesan.

Menurutnya, ketika ini kehadiran pihak luar khususnya di sekitar kawasan bencana dilihat semakin ramai yang bergerak dalam pasukan mengikut entiti masing-masing bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa terjejas banjir.

“Sebab dalam pasukan mereka ada yang hendak bagi bantuan makanan, ada yang bagi bantuan tenaga membersihkan rumah, jadi laporkan kepada PKOB dan PKOB akan selaraskan pergerakan mereka mengikut keperluan di sesuatu kawasan yang terjejas itu,” katanya.

Beliau berkata pendaftaran dengan PKOB juga membolehkan pihaknya mengenal pasti bilangan sukarelawan yang ada di daerah ini dan memudahkan pihaknya membuat pemantauan berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Di samping menyalurkan bantuan dan membersihkan rumah tapi SOP tolong jaga… Kita telah mendapatkan bantuan polis dari luar Yan untuk membantu kita mengawasi sebarang aktiviti berkumpul beramai-ramai di daerah ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.