Tak adil sekat individu tidak divaksin jika vaksinasi tak wajib, kata tokoh perniagaan

Tak adil sekat individu tidak divaksin jika vaksinasi tak wajib, kata tokoh perniagaan

Bagaimanapun kerajaan perlu memastikan bekalan vaksin mencukupi dan orang ramai diberi cukup masa untuk mendapatkannya, kata Ameer Ali Mydin.

Di Sibu, hanya individu yang lengkap vaksinasi dibenarkan memasuki pasar raya mulai akhir bulan ini.
PETALING JAYA:
Kerajaan mesti mewajibkan vaksinasi Covid-19 jika mahu menyekat kemasukan mereka yang tidak divaksin ke premis perniagaan, kata seorang tokoh perniagaan terkemuka.

Pengarah Urusan Pasar Raya Mydin Ameer Ali Mydin berkata, bekalan vaksin mesti mencukupi sekiranya mahu mewajibkan vaksinasi.

“Orang ramai juga harus diberi cukup masa untuk mendapatkan vaksin. Kerajaan tidak boleh melaksanakan sekatan ini secara tiba-tiba kerana ramai orang belum menerima vaksin.

“Setelah semua syarat-syarat ini dipenuhi, saya rasa semua peniaga runcit akan sangat bersetuju untuk membenarkan hanya mereka yang lengkap vaksinasi masuk ke pasar raya, malah membuat perjalanan,” katanya kepada FMT.

Ameer Ali Mydin.

Menurut SOP baharu yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Isnin, hanya individu yang lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 dibenarkan bekerja atau memasuki mana-mana premis perniagaan di sana.

Pengecualian hanya akan diberikan kepada mereka yang telah mendapat satu dos sehingga akhir Ogos.

Memetik peraturan itu, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting berkata, hanya individu yang lengkap vaksinasi dibenarkan memasuki pasar raya di bandar itu mulai akhir bulan ini.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, tindakan kerajaan Sarawak meletakkan sekatan bagi mereka yang tidak divaksin bagus.

Dr Lee Boon Chye.

Katanya, vaksinasi di Sarawak jauh mendahului negeri-negeri lain dengan hampir keseluruhan populasinya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Langkah membenarkan individu yang lengkap vaksinasi bergerak bebas adalah wajar, katanya sambil menambah, sekatan yang dikenakan mungkin dapat menggalakkan golongan yang sebelum ini ragu-ragu untuk mendapatkan vaksin.

“Saya tidak fikir sekatan yang dibuat oleh JPBN itu salah. Mereka yang ragu-ragu untuk mendapatkan vaksin mempertaruhkan nyawa orang lain dengan menyebarkan virus jika mereka dijangkiti.

“Langkah ini hanya ‘syarat mudah’ bagi mereka yang tidak mahu mendapatkan vaksin kerana mereka berpotensi membawa mudarat kepada orang lain. Semua orang patut menerima vaksin,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.