
Dalam catatan di Facebook, Marzuki berkata, beliau bertanya Muhyiddin kewajaran memberikan sokongan kepada naib presiden Umno itu, memandangkan beliau daripada parti yang menjatuhkannya.
“Kami bertengkar ‘kecil’ mengenai perkara ini untuk seketika tetapi beliau (Muhyiddin) nampak tegas melakukan apa yang difikirkannya langkah betul,” kata Marzuki.
Katanya, rasional Muhyiddin menyokong Ismail mudah tetapi realisitik.
Pada Muhyiddin, “jika beliau tidak menyokong seorang calon untuk dilantik perdana menteri, tidak ada sesiapa akan memperoleh majoriti. Justeru negara akan dibelenggu kemelut politik untuk berminggu-minggu, jika tak berbulan,” katanya.
Beliau berkata, Muhyiddin hanya meminta kepastian bahawa tindakannya menyokong Ismail tidak melanggar Perlembagaan.
“(Apabila) saya memberitahunya ia tidak melanggar Perlembagaan, Muhyiddin meminta saya mengatur perjumpaan dengan Ismail pada pukul 11 pagi (15 Ogos)”.
Marzuki berkata, Muhyiddin memberitahunya dia “tidak bermasalah” jika Ismail Sabri dicalonkan sebagai perdana menteri dan bersetuju mendapatkan sokongan Ahli Parlimen Bersatu untuk turut memberikan sokongan.
Keesokan harinya, Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk meletak jawatan dengan seluruh Kabinetnya.
Beliau bertindak demikian selepas 15 Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan terhadapnya apabila percakaran antara Umno dan Bersatu pimpinan Muhyiddin semakin memburuk.
Marzuki berkata, Muhyiddin memberitahunya ramai yang menghantar pesanan teks memintanya untuk tidak meletak jawatan.
Namun, Ahli Parlimen Pagoh itu berpendirian dia perlu meletak jawatan selaras peruntukan Perlembagaan apabila perdana menteri hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Semalam, Muhyiddin menyifatkan Ismail sebagai “calon perdana menteri kerajaan PN yang baharu”, sekali gus membayangkan negara tetap bawah pimpinan Perikatan Nasional yang ditubuhkannya tahun lalu.
Beliau menjelaskan, semua 50 ahli Dewan Rakyat daripada PN dan empat Ahli Parlimen bebas yang pro-gabungan itu menyatakan sokongan kepada Ismail sebagai calon perdana menteri.
Sokongan itu, katanya demi “menjamin kesinambungan dasar kerajaan PN”.