
Mereka berkata, kerajaan baharu yang bakal dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong perlu mengambil langkah bijak untuk membatalkan keputusan yang dibuat di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin.
Dalam perkembangan terbaru, Facebook dan Google mengumumkan projek baharu kabel dasar laut bagi meningkatkan lagi hubungan di rantau ini.
Persatuan Pengendali Internet Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkata, keputusan syarikat gergasi teknologi itu adalah bukti bahawa penarikan semula itu menjejaskan minat pelabur ketika digitalisasi disebut sebagai faktor utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Benedict Weerasena, seorang ahli ekonomi di Bait Al-Amanah berkata, kerajaan seterusnya harus menetapkan dasar yang konsisten dengan matlamat negara dan tidak memberi isyarat bercampur-baur kepada pelabur yang berpotensi.
“Sebagai contoh, dasar kabotaj mengenai penyelenggaraan dan pembaikan kabel dasar laut tidak selari dengan matlamat untuk mempunyai jumlah pendaratan kabel dasar laut tertinggi di Asia Tenggara menjelang 2025 di bawah rangka kerja MyDigital,” katanya.
Beliau berkata, Putrajaya tidak boleh mempunyai dasar yang menyebabkan negara dipintas oleh pesaing di rantau ini dan menjejaskan perkembangan ekonomi digital negara.
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, pembatalan pengecualian itu melibatkan pelaburan negara hingga berbilion ringgit tetapi ia bukan sebab mengapa ia dibatalkan.
“Ia memberi kesan kepada Malaysia untuk melaksanakan dasar bersifat memberi perlindungan,” katanya.
“Ini menjejaskan keseluruhan persepsi pelaburan dan menggambarkan Malaysia sebagai tidak mesra pelabur asing. Sekiranya sekatan itu wujud, mereka akan beralih arah.”
Beliau berkata, apa sahaja keuntungan yang dijana kerajaan daripada hasil cukai daripada kapal asing atau bayaran lesen, lebih sia-sia berbanding kerugian pelaburan dan kehilangan peluang pekerjaan yang sepatutnya dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dalam projek besar.
“Apabila firma teknologi, peneraju agensi teknologi kerajaan dan ahli politik bersetuju bahawa sesuatu harus dibatalkan, ia biasanya petanda baik bahawa perubahan perlu dilakukan,” katanya.
“Pasaran kompetitif yang terbuka untuk perdagangan dan pelabur asing adalah lebih baik berbanding dasar yang bersifat melindungi. Ini adalah langkah ke hadapan.”