Muhyiddin letak jawatan, Sekretariat Solidariti Rakyat batal himpunan 21 Ogos

Muhyiddin letak jawatan, Sekretariat Solidariti Rakyat batal himpunan 21 Ogos

Pengunduran Muhyiddin Yassin kemenangan buat rakyat berikutan beliau 'bertanggungjawab' ke atas lebih 13,000 nyawa akibat gagal mengekang Covid-19.

Sebelum ini Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) mengadakan siri himpunan menggesa Muhyiddin Yassin berundur. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) membatalkan hasrat berhimpun pada 21 Ogos ini susulan peletakan jawatan Muhyidddin Yassin sebagai perdana menteri.

Menerusi kenyataan, kumpulan itu bagaimanapun menegaskan bahawa perjuangan #Lawan tidak akan terhenti.

“Proses pendemokrasian serta semak dan imbang kepada kerajaan wajib diteruskan. Kami tidak akan teragak-agak melaksanakan lebih banyak aksi jikalau kerajaan baru yang akan dibentuk gagal melaksanakan tanggungjawab memastikan negara ini aman daripada pandemik dan kemelut politik dangkal,” katanya.

Katanya, pengunduran Muhyiddin menjadi kemenangan kepada rakyat berikutan beliau “bertanggungjawab” ke atas lebih 13,000 nyawa akibat pentadbirannya gagal mengekang Covid-19.

“Justeru, SSR menggesa semua pemimpin kembali semula ke ruang sebenar demokrasi berparlimen bagi membincangkan dasar serta tindakan selanjutnya, untuk memulihkan semula keadaan negara kita kian tenat.

“Perdana menteri yang akan dilantik perlu mempunyai fokus, idea, kemahuan dan keberanian memastikan rakyat Malaysia dibela selepas sekian lama ditindas oleh kerajaan yang asyik berpolitik, tetapi tidak mengendahkan kemahuan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, kumpulan itu mengadakan siri himpunan menggesa Muhyiddin dan Kabinetnya berundur kerana mendakwa gagal mengurus negara menangani Covid-19 dengan berkesan, sehingga banyak nyawa terkorban.

Mereka sebelum ini turut merancang mengadakan himpunan 21 Ogos ini, jika Muhyiddin tidak meletak jawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.