
Tengku Azlan, yang juga bapa saudara kepada Yang di-Pertuan Agong berkata, individu yang akan memegang jawatan nombor satu dalam kerajaan itu juga harus bebas daripada sebarang skandal peribadi dan tuduhan rasuah.
“Harapan saya secara peribadi, agar seorang perdana menteri ini mempunyai ‘international image’ yang baik, tidak ada skandal peribadi dan tuduhan korupsi, memahamai selok-belok ekonomi dan paling penting mendapat penghormatan kakitangan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perdana menteri baharu yang mempunyai kriteria berkenaan mampu membawa imej pembaharuan yang diperlukan negara.
Bekas Ahli Parlimen Jerantut selama tiga penggal itu berkata, beliau yakin Agong dan Majlis Raja-raja akan melantik perdana menteri baharu selepas mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini.
“Saya yakin Agong dan Majlis Raja-raja akan melantik seorang yang berwibawa dan memahami tentang senario dan suasana di dalam negara ketika ini,” katanya.
Minggu lalu, Tengku Azlan mengumumkan keluar Bersatu dan kembali ke pangkuan Umno.
Bekas ketua bahagian Bersatu Temerloh itu berkata, Umno adalah parti yang tepat untuk memperjuangkan hak kaum Melayu dan agama Islam.
Setakat ini, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sepakat menamakan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai calon tunggal perdana menteri mereka.
Manakala, Pakatan Harapan (PH) dan Warisan sebulat suara menamakan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri gabungan itu.