PAS tak pernah cadang calon PM termasuk Hamzah, kata Takiyuddin

PAS tak pernah cadang calon PM termasuk Hamzah, kata Takiyuddin

Takiyuddin Hassan ulas audio didakwa suara seorang pemimpin Bersatu mendakwa pimpinan PAS termasuk Hadi Awang setuju menjadikan Hamzah Zainudin calon perdana menteri.

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan berkata isu calon perdana menteri mewakili pembangkang tidak pernah dibincangkan di peringkat PAS atau PN.
KUALA LUMPUR:
PAS menegaskan parti itu tidak pernah mencalonkan mana-mana individu sebagai calon perdana menteri dari Perikatan Nasional (PN) termasuk Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan mengulas penyebaran audio didakwa suara seorang pemimpin Bersatu, yang mendakwa pimpinan PAS termasuk Presiden Hadi Awang setuju menjadikan Hamzah calon perdana menteri.

Takiyuddin berkata, isu calon perdana menteri bagi mewakili pembangkang tidak pernah dibincangkan di peringkat PAS atau PN.

“Presiden PAS baru-baru ini menegaskan kita tidak mahu menamakan sesiapa sebagai calon PM, fokus kita untuk menang PRU16 dahulu, calon PM ditentukan kemudian.

“Dalam PN, ramai pemimpin berpotensi, bukan hanya satu calon. Jadi, isu itu tidak timbul,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS.

Berhubung dakwaan dalam audio yang tular sejak awal pagi tadi, Takiyuddin berkata pihak terbabit perlu membuktikanya.

Penyebaran audio itu berlaku ketika isu calon perdana menteri dari PN hangat diperkatakan dan turut dikaitkan dengan akuan berkanun (SD) berkait kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu.

Perkara itu muncul ketika perhimpunan Agung Tahunan Bersatu bulan lalu yang menyaksikan Muhyiddin diumum sebagai calon perdana menteri ke-11.

Audio itu juga disebarkan ketika perbalahan dalam Bersatu dilihat semakin hangat apabila Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Wan Saiful Wan Jan mendakwa Setiausaha Agung Azmin Ali tidak layak menjadi pemimpin selagi kontroversi ‘video’ didakwa membabitkan dirinya belum selesai.

Pada 2019, beberapa klip video tular didakwa menunjukkan Azmin bersama seorang lelaki melakukan perbuatan songsang di Hotel Four Points, Sandakan, Sabah.

Haziq Aziz, ketua Pemuda PKR Santubong ketika itu, mengeluarkan rakaman pengakuan dengan menamakan dirinya dan Azmin sebagai dua lelaki dalam klip video terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.