3 faktor Muhyiddin layak calon PM

3 faktor Muhyiddin layak calon PM

Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata, presidennya mempunyai merit, kepimpinan teruji, dan kajian menyokong.

Tun Faisal
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz nafi laporan beliau menolak gesaan PAS agar calon perdana menteri berusia 70 tahun ke bawah dan sihat fizikal.
PETALING JAYA:
Keputusan Bersatu menamakan Presiden Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri dipandu tiga faktor: merit, kepimpinan teruji, dan hasil kajian, menurut Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz.

Tun Faisal berkata, parti itu berpendapat pengalaman dan pengetahuan luas dimiliki Muhyiddin melayakkannya memegang jawatan tersebut.

“Kepimpinan yang telah teruji – terutama semasa krisis pandemik Covid-19,” katanya kepada FMT.

Kajian badan pemikir parti itu, Institut Masa Hadapan Malaysia, menjadi antara faktor penentu, katanya.

Muhyiddin dinamakan sebagai calon Bersatu untuk jawatan tertinggi itu pada mesyuarat tahunan parti awal bulan ini.

Beliau menafikan laporan mendakwa Bersatu menolak cadangan Presiden PAS Hadi Awang, supaya calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN) pada PRU akan datang berumur bawah 70 tahun dan berada dalam keadaan fizikal yang sihat.

Beliau berkata, laporan Malaysiakini yang berdasarkan satu episod audio siar tidak mencerminkan apa yang sebenarnya beliau nyatakan.

Tun Faisal menegaskan episod tersebut perlu didengar sepenuhnya.

Beliau berkata, semua pandangan mengenai perkara itu akan dibincang dan diputuskan secara konsensus di peringkat PN.

“Tidak timbul isu menolak pandangan PAS yang dibuat dalam platform PAS. Begitu juga parti-parti komponen PN yang lain,” katanya.

Kenyataan Hadi berkenaan dilihat seakan penolakan terhadap Muhyiddin, yang berusia 78 tahun. Timbalan Muhyiddin, yang juga Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, berumur 68 tahun dan sering disebut-sebut calon perdana menteri berpotensi bagi PN.

PAS telah mengemukakan usul pada muktamarnya hujung minggu lalu untuk ‘memimpin PN dan menampilkan calon perdana menteri daripada PAS’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.