Umum calon PM tanpa runding ibarat beri lawan ‘peluru’, kata perwakilan PAS

Umum calon PM tanpa runding ibarat beri lawan ‘peluru’, kata perwakilan PAS

Beberapa perwakilan Pemuda PAS minta semua komponen PN lebih berhati-hati umum calon PM untuk PRU16.

Muktmar Dewan Pemuda PAS
Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-66 meluluskan usul supaya parti itu memimpin gabungan PN dan menerajui kepimpinan utama negara.
ALOR SETAR:
Beberapa perwakilan Pemuda PAS berpendapat pengumuman calon perdana menteri tanpa rundingan dan kata putus komponen Perikatan Nasional (PN) berisiko memberi peluru kepada lawan untuk menyerang.

Perwakilan Beruas Fadzil Abdul Rahim berkata mereka menghormati pengumuman Bersatu yang mengumumkan Presidennya Muhyiddin Yassin sebagai calon PM ke-11 parti itu, pada perhimpunan tahunannya, minggu lalu.

Fadzil Abdul Rahim.
Fadzil Abdul Rahim.

“Sebaik bincang terlebih dahulu di peringkat PN. Sahabat kita di Bersatu sepatutnya berhati-hati sebelum umum calon perdana menteri.

“Kita tidak mahu beri ‘peluru hidup’ kepada lawan yang akan ambil kesempatan melaga-lagakan seolah-olah kita tidak sepakat,” katanya kepada FMT sambil menegaskan PAS bukan parti mengejar jawatan.

Perwakilan Padang Serai Saifuddin Hassan mengakui tindakan Bersatu itu mungkin memberi persepsi kurang baik kepada segelintir ahli PAS, namun yakin tidak membawa kepada perpecahan kerjasama dalam PN termasuk di peringkat akar umbi.

Saifuddin Hassan.
Saifuddin Hassan.

“Bagi saya, setiap parti berhak menamakan sesiapa sahaja sebagai calon perdana menteri, tetapi yang lebih penting ialah menang pilihan raya dahulu.

“Tak guna umum calon perdana menteri kalau kalah bertanding. Kalau nak lebih baik, calon PN sepatutnya dibincang dalam gabungan,” katanya.

Sementara itu, perwakilan Wangsa Maju, Baihaqi Ramli menegaskan isu calon perdana menteri bukan keutamaan PAS ketika ini, sebaliknya fokus utama ialah memenangi pilihan raya terlebih dahulu.

Baihaqi Ramli.
Baihaqi Ramli.

“Sejak dulu lagi PAS fleksibel, tidak terlalu mengejar jawatan. PAS tidak umum calon perdana menteri bukan kerana ketandusan calon, tetapi kerana kita ada ramai calon berkelayakan. Yang penting, kita menang dahulu.

“Ramai tokoh dalam PAS layak menjadi calon perdana menteri dengan pengalaman, ketokohan serta ilmu yang ada – Presiden Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, malah Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri layak,” katanya.

Beliau turut menamakan Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Ahli Parlimen Bachok Syahir Che Sulaiman sebagai pemimpin pelapis jika PN mentadbir Putrajaya.

Pandangan tiga pemimpin akar umbi itu disuarakan sebelum Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-66 meluluskan usul supaya parti itu memimpin gabungan PN dan menerajui kepimpinan utama negara.

Isu calon perdana menteri atau ‘poster boy’ bagi PN pada PRU16 antara perkara sering dibangkitkan dan menimbulkan percanggahan membabitkan pemimpin komponen itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.