‘Masuk PN kalau nak tahu calon PM’ Hamzah beritahu wakil DAP

‘Masuk PN kalau nak tahu calon PM’ Hamzah beritahu wakil DAP

Hamzah Zainudin secara berseloroh berkata Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) tidak akan mengundi calon perdana menteri dari PN walaupun selepas diberitahu.

pemimpin pn
Isu calon perdana menteri atau ‘poster boy’ bagi PN pada PRU16 antara perkara sering dibangkitkan dan menimbulkan percanggahan membabitkan pemimpin komponen itu.
KUALA LUMPUR:
Perbahasan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat hari ini sedikit gamat setelah Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) membangkitkan mengenai calon perdana menteri daripada Perikatan Nasional (PN).

Khoo ketika membangkitkan persoalan itu berkata: “Kalau PN jadi kerajaan siapa jadi calon perdana menteri. Ini nak yakinkan rakyat.”

Hamzah (PN-Larut) yang pada mulanya enggan melayan pertanyaan Khoo bagaimanapun secara berseloroh menjawab soalan wakil rakyat dari DAP itu.

“Kalau nak tahu, kami di sini (dalam PN) semua sudah tahu calon perdana menteri. Kalau Kota Melaka (Khoo) nak tahu sila masuk ke PN.

“Kalau saya beritahu bukan dia nak undi kami pun,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2026.

Isu calon perdana menteri atau ‘poster boy’ bagi PN pada PRU16 antara perkara sering dibangkitkan dan menimbulkan percanggahan membabitkan pemimpin komponen itu.

November tahun lalu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menafikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin disahkan sebagai calon rasmi PN untuk PRU16, sambil menegaskan partinya wajar mengetuai gabungan itu.

Namun, beberapa pemimpin dalam Bersatu dan Gerakan terus menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai calon utama perdana menteri mewakili PN.

Pada perhimpunan agung tahunan Bersatu, September lalu, Muhyiddin diumumkan sebagai calon perdana menteri ke-11 dari parti itu.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada 1 Okt lalu menjelaskan parti itu tidak pernah mencalonkan mana-mana individu sebagai calon perdana menteri dari PN termasuk Hamzah.

Beliau mengulas penyebaran audio didakwa suara seorang pemimpin Bersatu, yang mendakwa pimpinan PAS termasuk Presiden Hadi Awang setuju menjadikan Hamzah calon perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.