Disyaki terima suapan, jurutera agensi kerajaan antara 5 direman

Disyaki terima suapan, jurutera agensi kerajaan antara 5 direman

Jurutera dan penolong jurutera dipercayai meminta dan menerima rasuah lebih RM120,000 daripada dua kontraktor bagi mendapatkan projek pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz.

Mahkamah Majistret Shah Alam mengeluarkan perintah reman lima hari bermula hari ini terhadap suspek terbabit bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor dianggarkan lebih RM130,000. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Mahkamah Majistret Shah Alam mengeluarkan perintah reman terhadap lima individu termasuk seorang jurutera dan dua penolong jurutera sebuah agensi kerajaan di Hulu Selangor bagi membantu siasatan berhubung dua kes rasuah membabitkan dua syarikat kontraktor.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ahmad Faisal Azmi selepas membenarkan permohonan dikemukakan secara berasingan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menahan semua suspek berusia 37 hingga 45 tahun.

Bagi kes pertama seorang jurutera, seorang penolong jurutera dan dua pengurus syarikat kontraktor direman lima hari, bermula hari ini.

Sumber SPRM berkata, sekitar 2019 hingga tahun lepas, jurutera dan penolong jurutera itu dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM120,000 daripada dua kontraktor terbabit bagi mendapatkan projek pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz di daerah berkenaan.

“Difahamkan, kontraktor terbabit tidak layak memperoleh projek itu, tetapi menggunakan nama syarikat lain bagi membolehkan mereka mendapat projek,” katanya.

Bagi kes kedua, seorang penolong jurutera yang bertugas di tempat sama direman tujuh hari bermula hari ini kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM8,000 daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan memperakukan kerja-kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan berkenaan.

Semalam, semua suspek ditahan di pejabat SPRM Selangor antara 1.30 tengah hari dan 5 petang selepas hadir memberi keterangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.