
Menerusi video yang dimuat naik di Twitter, Ain Syawani memberitahu dia berusaha mempelajari bahasa tersebut agar dapat membantu memudahkan proses pendaftaran di kaunternya di PPV Stadium Bukit Jalil.
“Saya cuma nak kongsi rakaman video saya bercakap dalam bahasa Benggali dan Urdu. Belajar bahasa mereka membantu mempercepatkan kerja saya. Saya suka tengok reaksi mereka bila saya bercakap bahasa mereka. Harap video ini buat anda gembira,” katanya di Twitter.
Selain bahasa Urdu dan Bengali, Ain yang bertugas sebagai sukarelawan di PPV sejak hujung Jun lalu itu turut mempelajari bahasa lain seperti Myanmar, Nepal dan Hindi.
“Kadang-kadang susah mereka nak faham jadi saya ambil alternatif untuk belajar bahasa mereka, mudahkan kerja dua pihak.
“Setiap kali cakap bahasa Bangladesh, mesti mereka tersenyum dengar saya cakap bahasa mereka. Sekarang target nak belajar bahasa Myanmar pula tapi agak susah. Majoriti tak faham bila kita cakap bahasa Inggeris atau bahasa Melayu,” katanya.
Setakat ini, video tersebut telah mendapat lebih 300,000 kali tontonan, malah rata-rata warganet memuji usahanya itu.
Salah seorang daripadanya adalah Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Dr Jemilah Mahmood, yang memuji dan berterima kasih terhadap usaha petugas tersebut.
“Itulah semangat yang betul dan terima kasih atas dedikasi dan sikap positif anda,” katanya di Twitter.