Wajibkan dulu bahasa Tamil, Mandarin, kata pakar

Wajibkan dulu bahasa Tamil, Mandarin, kata pakar

Ainol Madziah Zubairi berkata ia harus dilaksanakan kerana sudah lama tertangguh berbanding menawarkan bahasa negara Asean sebagai elektif.

School classroom teacher
Penganalisis juga berkata Kementerian Pendidikan perlu mengutamakan perkara yang sepatutnya seperti memperkasakan penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris di sekolah.
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu mewajibkan pengajaran subjek bahasa Tamil dan Mandarin ke dalam sistem pendidikan kebangsaan sebelum menawarkan bahasa beberapa negara Asean sebagai bahasa elektif.

Pensyarah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ainol Madziah Zubairi, berkata perkara itu harus dilaksanakan terlebih dahulu memandangkan ia sudah lama tertangguh.

“Sepatutnya sistem pendidikan kebangsaan telah lama menjadikan bahasa Tamil dan Mandarin sebagai subjek bahasa asing yang wajib kepada anak-anak sekolah.

“Melalui pendidikan bahasalah anak-anak akan mengenali budaya rakyat dari pelbagai bangsa di Malaysia. Ini juga akan mendorong kepada perpaduan, hormat menghormati and kefahaman dalam masyarakat berbilang bangsa,” katanya kepada FMT.

Ainol berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang berkata Malaysia sedang memperluas tawaran bahasa elektif di sekolah dengan memasukkan bahasa Asean seperti Thai, Khmer, dan Vietnam.

Menurut Fadhlina, walaupun sistem pendidikan dwibahasa negara telah lama mengintegrasikan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, namun pihaknya sedang menggalakkan kerjasama serantau lebih erat.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore, berkata cadangan KPM itu tidak salah asalkan ia berbentuk pilihan saja kepada pelajar tanpa perlu mewajibkannya.

Bagaimanapun katanya, adalah lebih baik untuk kementerian mengutamakan perkara yang sepatutnya seperti memperkasakan penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris di sekolah.

“Pemerkasaan kedua-dua bahasa ini sendiri masih tidak kukuh dan kini pula ia mahu memperluaskan tawaran bahasa lain seperti Thai, Vietnam dan Khmer,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu mempertimbangkan cara lain bagi mengukuhkan kerjasama antara negara Asean selain penawaran pengajaran bahasa ke dalam sistem pendidikan negara.

“Kita perlu memahami apakah kegunaan bahasa Thai, Vietnam dan Khmer kepada pelajar pada masa hadapan, sedangkan masyarakat menyedari bahawa industri kini lebih mementingkan bahasa Mandarin sahaja berbanding Thai, Vietnam dan Khmer.

“Jika Asean menjadi sandaran perpaduan, mengapa hanya bahasa Thai, Vietnam dan Khmer sahaja yang mahu dijadikan bahasa elektif, sedangkan ada banyak lagi negara Asean lain,” katanya.

Tambahnya, meskipun usaha itu pada dasarnya nampak baik, namun KPM perlu mengambil kira beban sedia ada kepada pelajar selain mendapatkan kepakaran guru dalam bahasa asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.