
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata operasi mega selama dua hari bermula hari ini, melibatkan 600 sukarelawan dan individu termasuk anggota pelbagai agensi kerajaan dan institusi lain.
“Sebahagian besar fokus kita ketika ini ialah di Kampung Kuala Sungai Baru, khususnya bagi kerja pembersihan di kawasan awam dan kediaman penduduk yang terkesan. Sebelum ini, pembersihan di Putra Heights telah bermula lebih awal selepas kawasan itu mendapat kebenaran polis untuk dimasuki,” katanya kepada pemberita pada sidang media.
Amirudin berkata, sebanyak 264 unit kenderaan dan jentera termasuk lori water jetter, lori tangki air, lori roll-on roll off (Roro), jentera pengorek kaut, penyapu jalan, mesin pencincang kayu dan kren pengangkat digunakan dalam operasi yang dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama pelbagai pihak.
Beliau berkata, setakat ini 307 kediaman dibenarkan untuk diduduki semula dan pihaknya menjangkakan lebih banyak rumah dapat diduduki dalam masa terdekat selepas proses pembersihan selesai.
“Minggu depan kita akan mula fokus kepada proses sewaan dan baik pulih kediaman terjejas, dengan komitmen yang telah diterima daripada kerajaan persekutuan,” katanya.
Mengulas dakwaan tumpuan pembersihan lebih banyak di kawasan Putera Harmoni berbanding Kampung Melayu, beliau menjelaskan pembersihan hanya dapat dimulakan di Kampung Kuala Sungai Baru selepas kebenaran diberikan polis beberapa hari lepas.
“Struktur kediaman di kawasan itu juga tidak tersusun seperti di kawasan perumahan berstatus taman yang dibangunkan mengikut piawaian, jadi ia memerlukan usaha tambahan dan masa yang lebih panjang untuk dilaksanakan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan atas semangat kerjasama tinggi ditunjukkan sukarelawan, khususnya anak muda dari Selangor yang sanggup menyumbang tenaga walaupun semasa musim perayaan.
Sementara itu, Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat, dalam taklimat keselamatan kepada sukarelawan mengingatkan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, bagi menjamin keselamatan sepanjang operasi berlangsung.
Beliau memaklumkan seramai 100 pegawai dan anggota polis ditempatkan di kawasan sekitar bagi mengawal perimeter kejadian yang diisytihar sebagai zon bencana.
“Tiada sebarang laporan kehilangan harta-benda setakat ini dan kami mahu mengekalkan rekod ini. Semua sukarelawan dilarang sama sekali memasuki kawasan ground zero atau rumah yang telah diisytihar tidak selamat tanpa kebenaran,” katanya.