DBP bukan cadang hanya kuasai BM, kata bekas KP

DBP bukan cadang hanya kuasai BM, kata bekas KP

Abang Sallehuddin Abg Shokeran pertahan ketua pengarah DBP Hazami Jahari tegur program kerajaan guna bahasa Inggeris.

Ketua Pengarah DBP Hazami Jahari baru-baru ini dikecam kerana menegur penjawat awam menggunakan bahasa Inggeris pada majlis kerajaan yang dihadiri rakyat Malaysia.
PETALING JAYA:
Bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Abang Sallehuddin Abg Shokeran mempertahankan ketua pengarah semasa Hazami Jahari yang menegur penjawat awam mengutamakan bahasa Inggeris dalam program kerajaan.

Menjawab bekas ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan Ramon Navaratnam dan bekas menteri perdagangan dan industri Rafidah Aziz, yang menyokong penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi, Sallehuddin berkata, mereka terlalu mengagungkan Bahasa Inggeris ‘sehingga lupa bahawa bahasa kita sendiri ada kekuatannya dari segi budaya’.

“Apa yang selalu ditekankan (DBP) adalah utamakan bahasa Melayu tetapi kuasai juga bahasa asing (seperti) bahasa Inggeris, Tamil, Arab dan Cina,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, manakala menurut Akta Bahasa Kebangsaan, bahasa Melayu mesti digunakan untuk semua tujuan rasmi.

“Kita mesti pertimbangkan aspek (dari segi sejarah) … (janganlah) semata-mata atas dasar kita nak maju (kita guna pakai sahaja bahasa asing),” katanya.

Tambahnya, walaupun Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan pekeliling mengarahkan bahasa kebangsaan digunakan, bahasa lain turut boleh dipertimbangkan sebagai bahasa kedua.

Sallehuddin khususnya mengkritik penggunaan bahasa Inggeris dalam kempen kerajaan seperti ‘Car-free Morning’ dan inisiatif ‘Program Jualan Rahmah Madani Back to School 2025’ Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Sebaliknya kita boleh guna frasa seperti ‘Kembali ke Sekolah’ atau ‘Pagi Tanpa Kereta’,” katanya.

Terdahulu, Hazami dilaporkan berkata, penjawat awam yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan kerajaan tidak menghormati Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Ramon bagaimanapun berkata, ‘pendekatan yang lebih seimbang, wajar dan rasional’ perlu diambil berhubung perkara itu.

“Jika Bahasa Melayu sengaja diabaikan, orang berhak persoalkan. Namun, tak elok label semua orang guna bahasa Inggeris (dalam urusan kerajaan) sebagai tidak menghormati Perlembagaan.

“Isu ini rumit dan emosional. Kerajaan harus bincang isu ini pada peringkat Jemaah Menteri kerana satu arahan yang salah arah boleh cetus kekeliruan dan salah faham,” kata Ramon kepada FMT.

Sementara itu, bekas menteri perdagangan dan industri Rafidah Aziz berkata, banyak negara kini mengutamakan bahasa Inggeris kerana peranan pentingnya dalam membolehkan komunikasi berkesan dan membuka akses kepada wadah pengetahuan yang luas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.