
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon, berkata langkah itu diambil susulan laporan menyeluruh diterima daripada Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Pasir Gudang, yang semuanya kini berdepan masalah sama iaitu kekurangan tenaga kerja yang menjejaskan operasi serta menambah beban kepada petugas sedia ada.
“Kita ambil maklum dengan serius beban yang ditanggung petugas kesihatan dan sudah tiba masanya KKM beri perhatian yang sewajarnya. Jumaat depan, kita akan bawa data lengkap dan desakan agar penyelesaian segera dapat dicapai,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, mesyuarat secara sidang video turut diadakan semalam bagi menyelaras tindakan susulan melibatkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Mohtar Pungut, Pengarah HSA Dr Mohamad Nizam Subahir, Pengarah HSI Dr Zuraini Zainal dan Pengarah Hospital Pasir Gudang Dr Suhaila Abu Hassan serta beberapa pegawai kanan lain.
Ling berkata, pihaknya juga akan memastikan pelaksanaan fasa operasi Hospital Pasir Gudang berjalan lancar, termasuk pembukaan pada 1 Ogos ini dan pengoperasian sepenuhnya menjelang Mac 2026.