Mahkamah Persekutuan kekal hukuman mati ke atas pekerja kantin sekolah

Mahkamah Persekutuan kekal hukuman mati ke atas pekerja kantin sekolah

Perayu telah menyebabkan kematian pemilik kedai selepas melepaskan tembakan ketika melakukan rompakan berkumpulan.

Mahkamah berpuas hati bahawa isteri mangsa berada dalam kedudukan yang membolehkannya mengenal pasti perayu sebagai orang yang melepaskan tembakan.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas bekas pekerja kantin sekolah kerana melepaskan tembakan hingga menyebabkan pemilik kedai terbunuh ketika melakukan rompakan di kedai perkakasan di Bachok, Kelantan pada tahun 2015.

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan Anuar Mohamed serta mengesahkan sabitan dan hukuman mati ke atasnya.

Dalam keputusan mahkamah itu, beliau berkata selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan serta selepas meneliti rekod rayuan, mahkamah berpuas hati bahawa mahkamah rendah telah memutuskan dengan betul mengenai isu pengenalan identiti.

Tengku Maimun berkata mahkamah telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan berpuas hati bahawa isteri mangsa berada dalam kedudukan yang membolehkannya mengenal pasti perayu (Anuar) yang melepaskan tembakan.

Panel itu turut dianggotai dua Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Mohd Zawawi Salleh dan Hasnah Mohammed Hashim.

Anuar, 43, didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Jun 2018, selepas melepaskan tembakan menyebabkan kematian ke atas Mustaffa Sidek, 52, ketika melakukan rompakan berkumpulan di Ultra Maju Trading, di Jalan Beris Lalang, Bachok, Kelantan pada 5.30 petang, 5 Februari 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Rayuan Anuar ditolak Mahkamah Rayuan pada 14 Ogos 2019.

Berdasarkan fakta kes, isteri mangsa dan anak perempuannya bersama seorang pekerja berada di dalam kedai ketika tiga lelaki bertopeng memasuki premis tersebut, dengan dua daripada lelaki itu bersenjatakan parang dan seorang yang kemudian dikenali sebagai Anuar, memegang pistol.

Mereka menyamun barangan berharga dan wang tunai dari kedai tersebut.

Berlaku tolak-menolak di antara isteri mangsa dengan tiga lelaki berkenaan dan si mati, sewaktu isteri si mati digari bersama dengan pekerja kedai berkenaan dan dalam keadaan kelam kabut, isteri si mati berjaya mencabut topeng tertuduh (Anuar) yang membolehkannya dan pekerja kedai itu melihat wajah tertuduh selama dua saat.

Tertuduh (Anuar) kemudian melepaskan tembakan sebelum melarikan diri bersama dua lagi rakan sejenayahnya.

Anuar diwakili peguam Hamdan Hamzah manakala Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron bagi pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.